PPBM Diramal Karam Sebelum PRU14?


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diramal karam sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berikutan perpecahan dalaman parti itu yang  teruk termasuk semakin ramai ahlinya ‘angkat kaki’.

Kehancuran parti yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad itu dibayangkan oleh bekas salah seorang pengasasnya, Kamarul Azman Habibur Rahman yang meninggalkan parti itu bersama beberapa pemimpin yang lain di Negeri Sembilan pada 14 April lepas.

“ Parti itu diramal karam tidak lama lagi, iaitu sebelum paluan gendang PRU14, ” kata Kamarul Azman yang merupakan bekas Setiausaha Kerja PPBM.

 “Mungkin pada peringkat awalnya jika mereka menyedari dan mengakui hakikat bahawa ada sesuatu yang tidak kena kepada bahtera parti ini dan mereka membuat sesuatu, tetapi nampaknya mereka tidak membuat apa-apa tindakan yang baik,” kata Kamarul Azman seperti mana yang dilaporkan MalaysiaGazette.

Malah kata Kamarul Azman, kebanyakan ahli yang keluar parti adalah disebabkan pemimpin atasan yang sudah hilang hala tuju dan mempunyai kepentingan peribadi daripada membela nasib rakyat.

Kamarul Azman bertindak meninggalkan PPBM lebih sebulan lalu atas alasan kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih dalam parti itu yang turut dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sebelum ini Kamarul Azman menegaskan  beliau tidak nampak PPBM akan berjaya kerana parti itu gagal mengatasi unsur-unsur negatif yang membelenggu dan merosakkan parti itu dari dalam.

Beliau yang kini Pengerusi Gabungan Kepimpinan Celik Minda (GKCM) menyatakan apa yang disuarakan bukan saja telah diambil secara negatif malahan mereka telah diserang secara bertalu-talu oleh PPBM. - Kedahnews.com