Punca Kematian Thaqif Masih Kabur


KUALA LUMPUR – Lebih sebulan pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi meninggal dunia selepas kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong namun sehingga semalam keluarganya masih tertanya-ta­nya punca sebenar kematian budak itu.

Kisah menyayat hati tersebut mendapat perhatian seluruh masyarakat di negara ini.

Bagaimanapun, sehingga sekarang belum ada apa-apa perkembangan mengenai hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat Mohamad Thaqif dan kedua-dua belah kakinya diumumkan oleh Kementerian Kesihatan.

Banyak pihak berasa kesal dengan kelewatan untuk mengetahui punca kematian Mohamad Thaqif, 11, walaupun kubur kanak-kanak terbabit telah digali semula pada 18 Mei lalu dengan alasan untuk mencari punca kematiannya.

Bapa saudara Allahyarham Mohamad Thaqif, Mas Ariff Masduki ketika dihubungi Kosmo! mengakui, sehingga kini pihak keluarga Mohamad Thaqif belum menerima sebarang maklumat mengenai kedua-dua laporan bedah siasat tersebut.

Katanya, pihaknya percaya hospital sudah mempunyai laporan awal hasil bedah siasat tetapi hanya menunggu laporan lengkap bedah siasat membabitkan kaki Mohamad Thaqif yang dijangkiti kuman sehingga terpaksa dipotong.

“Kami difahamkan pihak terbabit sudah menubuhkan satu panel khas bagi menyiasat punca kematian Mohamad Thaqif namun sehingga hari ini (semalam), punca kematian anak saudara saya masih kabur.

“Kalau ditanya, kami memang mahu tahu punca kematian Mohamad Thaqif secepat mungkin tetapi kami cuma diberitahu pihak hospital mahu mengambil masa yang lama sedikit,” katanya.

Sumber: Kosmo Online