Rafizi Fitnah Institusi Kehakiman Syariah, Ketua Hakim Syarie Lapor Polis


PUTRAJAYA – Dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini susulan kenyataan celupar Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam satu program pada 10 April lalu.

Laporan polis itu dibuat masing-masing oleh Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Mahammad Ibrahim dan Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab kira-kira jam 10 pagi Khamis.

Mahammad yang ditemui berkata, kenyataan dibuat Rafizi itu adalah satu fitnah dan penghinaan kepada institusi kehakiman syariah dan hakim-hakim mahkamah syariah sekali gus didakwa menjatuhkan maruah hakim syarie.

Ujarnya, kenyataan Naib Presiden PKR itu ketika Sidang Parlimen Rakyat anjuran Pakatan Harapan juga dilihat mampu mewujudkan kekeliruan dan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah.

“Rafizi juga menyebut bahawa orang gaji rendah diberi kuasa besar sehingga boleh memenjara sampai 30 tahun, sudah tentu kuasa itu jika tidak diselia dengan baik, dia konon akan terbuka kepada salah guna,” kata Muhammad.

Beliau menambah, malah sehingga kini hanya seorang hakim syariah sahaja yang terlibat dengan rasuah. Kenyataan Rafizi itu mendakwa hakim syariah banyak terlibat rasuah berbanding hakim mahkamah sivil adalah satu fitnah.

“Jika dilihat pada rekod, hanya ada satu kes hakim mahkamah syariah yang terlibat dalam rasuah dan kenyataan Rafizi seolah-olah satu serangan untuk merendahkan reputasi kami dan tidak wajar dipolitikkan,” katanya lagi.

Rafizi didakwa melemparkan tohmahan jahat tersebut ketika sesi bersama-sama dengan sekumpulan Ahli Parlimen blok pembangkang tersebut secara ‘live’ menerusi video media sosial yang disiarkan pakatan itu pada bulan lalu.

Beliau mendakwa konon rekod hakim Mahkamah Syariah yang pernah ditahan kerana rasuah adalah jauh lebih tinggi berbanding hakim Mahkamah Sivil sekali gus menunjukkan institusi kehakiman syariah penuh korupsi.

Tuduhan itu dilemparkan susulan pembentangan usul Rang Undang-undang Persendirian oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pemerkasaan bidang kuasa mahkamah syariah di Dewan Rakyat pada 6 April.

Beberapa wakil daripada Pakatan Harapan yang tidak berpuas hati kerana gagal diberi peluang untuk berbahas akibat ditangguhkan kemudian mewujudkan persidangan parlimen versi sendiri bagi mengutuk rang tersebut.

Sebelum ini, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan berhubung kenyataan Rafizi itu yang didakwa menjatuhkan maruah hakim syarie di negara ini.

Mahammmad yang hadir bagi mewakili 546 ahli PPSM tiba di pekarangan IPD Putrajaya kira-kira pukul 9.30 pagi dan selesai membuat laporan polis pada jam 11 pagi. – Agensi