EKORAN teruk disindir ramai netizen, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli cuba berdalih dengan mengatakan tiga logo yang dicadangkan untuk digunakan Pakatan Harapan bukan direka olehnya.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa konon salah satu daripada logo tersebut direka oleh pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), manakala dua lagi telah berjaya dihasilkan sendiri oleh PKR.
“Ada di antara kami yang mahu diberi (tambahan) masa dan ‘dicuba’ melalui netizen, namun saya sambut baik netizen kerana (memberi komen) jujur.
“Saya tak tahu reaksi pimpinan lain, sama ada mereka teruskan juga (cadangan logo itu) atau memikirkannya terlebih dahulu. Saya tak tahu,” kataya dipetik Malaysiakini.
Bagaimanapun penjelasan diberikan Rafizi itu ternyata cuba ‘melarikan diri’ daripada menjawab kutukan ramai netizen yang mempersoalkan logo tersebut sebagai amat buruk berbanding jangkaan tinggi pelbagai pihak.
Semalam, Rafizi menerusi laman Facebooknya memuat naik tiga contoh logo Pakatan Harapan yang dijangka diguna pakai oleh gabungan parti pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Bagaimanapun, ketiga-tiga rekaan yang telah disenarai pendek oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang kebanyakan nyat tidak bersetuju, malah memberi sindiran tajam.
Rata-ratanya berpendapat ia langsung tidak menepati cita rasa semasa anak muda dan tiada nilai artistik dek kerana reka bentuknya yang terlalu ringkas. –Kedahnews.com