Rafizi Lebih Popular Daripada Wan Azizah Untuk Jadi PM?


PELIK tapi itulah yang dibentang laporan kajiannya.

Kajian Invoke Malaysia yang diasas dan diselia oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli meletakkan kedudukan Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di dalam kumpulan yang tercorot.

Agak pelik, kedudukan Rafizi lebih tinggi daripada bosnya (Dr. Wan Azizah) berdasarkan kajian itu.

Rafizi memperoleh 10.7 peratus sokongan sementara Wan Azizah sekadar mengutip 4.5 peratus manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar masing-masing menerima sokongan 3.5 peratus dan 2.6 peratus.

Kalau ikut sistem Liga Bolasepak Piala Malaysia, Dr.Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah serta  Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, sudah pun 'tersingkir' daripada saringan awal untuk masuk ke peringkat suku akhir.

Mereka yang menerima undian kecil berdasarkan kaji selidik Rafizi itu bagaimanapun tidaklah boleh berkecil hati kerana " survey" itu dibuat secara rambang.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sebelum ini digambarkan  antara calon Perdana Menteri juga tidak harus menyalahkan Ahli Parlimen Pandan itu walaupun beliau dianggap  " pakar " dalam membuat sesuatu kaji selidik dan meramalkan tentang masa depan ekonomi Malaysia.

Dalam kajian berkenaan bekas Menteri Besar Kedah itu tidaklah popular daripada kacamata orang ramai yang ditemu bual atau pun yang memberikan respons.

Kajian itu dibuat dalam tempoh tiga bulan dan sudah tentu sekali kedudukan carta bakal-bakal calon Perdana Menteri  di kalangan parti pembangkang juga akan berubah-ubah  selepas tiga bulan kemudiannya.

Ia bergantung  berdasarkan turun naik sokongan terhadap seseorang calon selain sentimen atau sikap rakyat terhadap calon atau parti yang mereka diwakilinya.

Sebelum ini pun, kedudukan siapa yang wajar dipilih menduduk kerusi Perdana Menteri pakatan pembangkang itu berubah dua atau tiga kali  dalam tempoh sebulan berikutan  terdapat 'bantahan' daripada rakan parti komponen dalam pakatan itu sendiri.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir ketika ditanya tentang kajian Rafizi itu hanya menjawab secara sidiran dan menganggapnya sebagai 'kajian syok sendiri' kerana ia dibuat sebelum parti pembangkang belum menguasai kerajaan.

Hakikatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal di puncak carta untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan walaupun Dr. Mahathir tidak pernah bersetuju dengan cadangan PKR dan DAP untuk memilih Anwar yang terpalit dengan masalah moral. - Kedahnews.com