SERAMAI 50 anak yatim dan fakir miskin diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama selebriti, Adibah Noor, semalam.
Mereka dari Pusat Pendidikan Agama dan Penjagaan Anak Yatim/Fakir Miskin, Markaz Tahfiz Al-Aitam, Pasir Puteh diundang khas sempena majlis itu yang diadakan di pasar raya KB Mall, Kota Bharu.
Majlis berbuka puasa itu anjuran Gedung Serbaneka Pacific, KB Mall dengan kerjasama Coca-Cola Malaysia.
Seorang penghuni pusat itu, Mohd Al Hafiz Haikal Mazurin, 13 berkata, walaupun baru menyambut Ramadan ketiga, pelbagai pihak tampil mahu meraikan mereka dalam majlis sebegitu.
"Saya berasa gembira dan berterima kasih kerana masih ada insan yang begitu prihatin dan mengambil berat soal kebajikan kami.
"Ia juga pengubat duka kerana tidak dapat bersama keluarga," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pasar Raya Besar dan Gedung Serbaneka Pacific, Charlie Tan Mong Chon berkata, majlis diadakan untuk meraikan mereka yang kurang berkemampuan.
Katanya, ia turut disertai Adibah yang juga Duta Kumpulan The Store.
"Pihak kami sentiasa menantikan Ramadan kerana peluang untuk merancakkan lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti majlis hari ini (semalam)," katanya.
Sumber: MyMetro