Ramai Makin Sedar Hak Mengundi


MELAKA - Melaka menjadi destinasi ketujuh persinggahan #JomKitaDaftarUndi dalam usaha mendaftarkan pengundi baharu bagi menghadapi PRU14 akan datang.

Dianjurkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kerjasama Sinar Harian, AIRASIA dan Astro, program berkenaan turut menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk tiket penerbangan AirAsia bagi pengundi baharu bertuah.

Timbalan Pengarah SPR Melaka, Mohd Azri Mohideen Abdul Kadir berkata, program yang diadakan bertujuan untuk menyediakan kemudahan kepada orang ramai mendaftar sebagai pengundi.

Selain itu, katanya, ia juga antara usaha berterusan dijalankan bagi memastikan setiap warga Malaysia yang layak tidak melepaskan peluang melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Sehingga tengah hari ini (semalam) kita menerima sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

 “Ini sekali gus menunjukkan semakin ramai masyarakat sedar bahawa pentingnya mereka mendaftar untuk mengundi,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengundi yang baru mendaftar, Muhammad Amirul Amsyar berkata, keputusan mendaftarkan diri sebagai pengundi adalah kerana menyedari ia satu tanggungjawab sebagai rakyat selain memastikan suara rakyat didengari kerajaan.

“Orang ramai sepatutnya menggunakan hak yang diberi kepada kita dan jangan bazirkan peluang ini,” katanya yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-21, kelmarin.

Kempen Jom Kita Daftar Undi dilancarkan pada 3 Mac lalu ketika Karnival Karangkraf 2017.

Sebanyak 1,100 tiket penerbangan AIRASIA termasuk ke Australia, Jepun dan Hong Kong ditawarkan kepada pengundi baharu bertuah.

Hadiah utama merupakan 10 tiket penerbangan ke Honolulu, Hawaii.

Maklumat lanjut kempen Jom Kita Daftar Undi boleh dilayari di laman web www.jomkitadaftarundi.my.

Sumber : Sinar Online