Rampas Ganja RM100,000: Kerani, Pelajar Universiti Swasta Diberkas


KERANI am kontrak jabatan kerajaan dan seorang penuntut Universiti Swasta antara lima yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor di sekitar negeri inipada 18 dan 19 Mei lalu.

Ketua JSJN Selangor Asisten Komisioner Amarjit Singh berkata, dalam serbuan berkenaan, polis berjaya merampas 34 kilogram (kg) ganja bernilai lebih RM100,000.

Menurutnya, dalam serbuan pada Khamis jam 11.15 malam itu, seorang lelaki ditahan di sebuah lokasi di Subang Jaya dan pemeriksaan di beg silang suspek menjumpai10 peket lutsinar dadah ganja seberat 95 gram dengan nilai RM300.

"Suspek berusia 20 an bekerja di syarikat swasta dan direman sehingga 26 Mei. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada satu sidang media, di sini, hari ini.

Amarjit berkata, dalam serbuan kedua pada awal pagi Jumaat di Beranang, Kajang, jam 2.45 pagi itu, polis menahan dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun serta berjaya merampas lima ketul ganja mampat seberat tiga kg bernilai RM11,000.

Beliau berkata, kedua-dua suspek iaitu seorang penuntut universiti dan penganggur kini direman sehingga 25 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Amarjit berkata, dalam serbuan ketiga polis menahan seorang lelaki di sekitar Serdang jam 9.30 malam dan pemeriksaan di dalam Perodua Myvi suspek menjumpai dua ketul ganja mampat dengan nilai rampasan RM6,000.

"Hasil soal siasat suspek membawa kepada serbuan di sebuah kondominium di Sri Kembangan dan menjumpai 34 ketul ganja mampat seberat 29 kg dengan nilai rampasan RM90,000.

"Suspek yang bekerja secara kontrak di Putrajaya ditahan bersama seorang wanita di kondominium berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 23 hingga 25 tahun itu direman tujuh hari sehingga 25 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, semua dadah yang dirampas dipercayai untukpasaran tempatan dan polis masih menyiasat semua suspek yang dipercayai mempunyai rangkaian pengedaran dadah tertentu.

Sumber : MyMetro