Rasuah RM20 Juta: 2 Pegawai Imigresen Hidup Mewah, Kontraktor Dicekup


ALOR SETAR – Kemewahan hidup pegawai Jabatan Imigresen hingga mampu memiliki enam kereta mewah bernilai jutaan ringgit  hasil kegiatan rasuah melibatkan RM20 juta, akhirnya berjaya  dihidu oleh Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila dua pegawai jabatan itu dan seorang kontraktor diberkas.

Wang rasuah itu dipercayai diperolehi melalui kegiatan meluluskan  permohonan permit kerja pegawai dagang atau golongan ekspatriat dan profesional warga asing sejak tahun dua tahun lalu.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad memberitahu, seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Perlis berusia 37 tahun yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar adalah antara yang ditahan kelmarin.

Menurut Mohd Fauzi, turut diberkas ialah seorang pegawai penguat kuasa Imigresen di ICQ tersebut dan seorang kontraktor yang masing-masing berusia 35 dan 48 tahun.

Ketiga suspek diberkas  antara pukul 10 hingga 11 pagi kelmarin, katanya pada sidang akhbar  diibu pejabat SPRM negeri di Anak Bukit Bukit  lewat petang semalam (Selasa).

"Kegiatan itu dipercayai dilakukan ketika pegawai kanan itu bertugas di ibu pejabat  di Putrajaya sejak tahun 2015 hingga dia ditukarkan ke ICQ Padang Besar pada awal tahun 2016," katanya kepada media, di sini semalam.

Semasa berkhidmat di Putrajaya, kata  Mohd Fauzi, suspek bertugas sebagai Ketua Bahagian Khidmat Ekspatriat dan dalam tempoh itu dia disyaki  meluluskan sebanyak 339 permohonan melibatkan 18,626 pemohon permit pegawai dagang

"Suspek dikatakan menerima wang rasuah kira-kira RM1,500 bagi setiap pemohon untuk kelulusan permit  tersebut," ujarnya lagi.

Semasa  membuat  penggeledahan di beberapa lokasi termasuk rumah suspek utama di Jitra dekat sini dan pegawai SPRM  merampas enam kenderaan mewah, simpanan tetap bernilai hampir RM1 juta serta tas tangan dan jam tangan berjenama yang kesemuanya dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 juta.

Kenderaan mewah yang dirampas  terdiri  BMW X6, BMW 320i, Toyota Vellfire dan dua model Honda Civic Type R serta sebuah motosikal berkuasa tinggi BMW R1200.

Menurut beliau,  semua kenderaan itu dibeli secara tunai dan hanya BMW X6 dibeli melalui pinjaman di mana suspek dipercayai membayar wang pendahuluan sebanyak RM200,000. -Kedahnews.com