SAMBUTAN menjelang Ramadan di beberapa tempat di Indonesia agak berbeza jika dibandingkan dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.
Malah di beberapa daerah di negara jiran itu pun, berbagai cara tradisi lama yang unik masih diamalkan untuk menyambut kedatangan Ramadan.
Bagi penduduk di daerah Jombang, Jawa Timur, sehari sebelum berpuasa masyarakat berarak dengan membawa sajian berupa kuih apam yang disebut Gerebek Apem dari satu tempat ke satu tempat.
Kuih tradisi masyarakat jawa yang disusun rapi seperti gunung itu kemudian dibahagi-bahagikan kepada orang ramai yang sedia menanti.
Bagi masyarakat di Jombang, mereka masih memegang tradisi seperti itu kerana percaya ia merupakan 'simbol' permohonan ampun kepada Tuhan pada bulan yang mulia ini.
Jumaat lepas, 21 'gunungan' kuih apam yang dihias indah diarak di Pekan Jombang dan kuih itu kemudian menjadi rebutan kanak-kanak, suri rumah dan tidak ketinggalan golongan lelaki dewasa.
Bagi masyarakat di kota raya seperti Jakarta sehari, sebelum puasa umat Islam menganjurkan majlis pengajian dan menziarah tanah perkuburan untuk membersihkannya dan menabur bunga-bungaan di atas kubur saudara mara masing-masing - Kedahnews.
