Reka Bentuk Punca Terminal 2 Changi Mudah Terbakar?


SINGAPURA – Di sebalik gah sebagai negara maju, Singapura mendapat aib baru-baru ini apabila Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi terbakar dan puncanya dikatakan ialah reka bentuk bangunan itu.

Perkara pelik tersebut didedahkan sendiri oleh bebarapa pakar kejuruteraan awam kepada agensi berita tempatan MediaCorp di sini hari ini sebagai mengulas insiden kebakaran di dewan perlepasan pada petang Selasa lalu.

Lebih dahsyat, semasa kebakaran tercetus di Terminal 2, asap tebal dilihat mampu merebak dengan begitu pantas di seluruh bangunan moden tersebut sehingga menyebabkan ramai orang panik dan terpaksa dipindahkan keluar.

Kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu mengakibatkan lebih 40 penerbangan terpaksa dilencongkan ke Terminal 3 di barat, sekali gus menjejaskan imej Changi sebagai lapangan terbang terbaik tahunan sebagai 26 kali sejak 1981.

Menjelaskan bagaimana ia boleh berlaku, pakar memberitahu bahawa reka bentuk Terminal 2 menjadi puncanya termasuk bilik yang menempatkan peralatan hawa dingin – sumber kebakaran yang sepatutnya dipantau lebih baik.

Ini kerana sebarang kebakaran tercetus boleh menyebabkan asap merebak dengan cepat ke bahagian-bahagian lain di terminal berkeluasan 358,000 meter persegi yang sudah beroperasi sejak 1990 di timur lapangan terbang itu.

Terminal 2 mampu mengurus maksimum 23 juta penumpang setahun; berbanding Terminal 1 terletak di utara yang dibuka pada 1981 lalu dengan keluasan 308,000 meter persegi dan had kapasiti hanya 21 juta penumpang setahun.

Changi Airport Group (CAG), sebuah agensi milik pemerintah Singapura turut menguruskan Terminal 3 yang baharu beroperasi sejak 2008 dengan keluasan 380,000 meter persegi dan keupayaan 22 juta penumpang setahun.

Pakar pengangkutan udara, Dr. Terence Fan, dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata CAG boleh mengambil pengajaran daripada insiden untuk memantau bilik-bilik peralatan sedemikian dengan lebih teliti.


Ia ujarnya, supaya sebarang kebakaran atau kegiatan mencurigakan dari segi keselamatan boleh dikesa segera. Reka bentuk dalaman yang terbuka jelasnya, boleh dilihat di kebanyakan lapangan terbang moden di seluruh dunia.

Mengulas tentang langkah pihak pengurusan menutup terminal tersebut dan memindahkan orang ramai, Fan bersetuju dan berkata ia satu keputusan yang bijak ekoran asap yang banyak berkepul di terminal tersebut.

CAG perlu memikirkan senario paling teruk yang mungkin berlaku. Dengan ancaman pengganasan kian meningkat di serata dunia, Changi perlu memastikan kebakaran itu bukanlah “sebahagian daripada komplot lebih besar”.

Profesor Madya Sam Conrad Joyce, yang mengajar seni bina dan reka bentuk mampan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pula berkata lapangan terbang seumpama itu lazimnya menyediakan ruang luas.

Ini asalnya untuk memudahkan pengunjung bergerak dengan mudah. Namun, ia juga boleh hambat zon kebakaran – cara lazim digunakan untuk mengawal asap menerusi ruang yang boleh diasingkan pula daripada ruang lain.

“Sekalipun mengurangkan kesan kebakaran pada waktu kecemasan, manfaat reka bentuk yang luas dan terbuka menjangkaui masalah kebakaran, memandangkan kurangnya jumlah insiden sedemikian,” kata Joyce lagi.

Malah katanya: “Lapangan Terbang Changi bukanlah satu-satunya lapangan terbang yang berdepan dengan isu seperti itu dan nampaknya mereka dapat menangani masalah tersebut dalam pergerakan pantas dan berkesan.”

Joyce turut menjelaskan bahawa lebih mudah untuk ‘hapus’ asap di pusat beli-belah disebabkan susunan ruangnya yang membolehkan asap naik ke atas dan jauh daripada pengunjung berbanding ruang luas di lapangan terbang.

Changi ketika ini mengurus lebih 100 syarikat penerbangan yang terbang ke 380 destinasi di 90 buah negara dengan kira-kira 7,000 penerbangan seminggu atau hampir 60 juta penumpang setahun. – Agensi