LEMBAGA Tabung Haji, hari ini menyerahkan dua Proton Exora 1.6 CVT Turbo Executive sebagai hadiah kepada Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-60.
Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, hadiah sumbangan TH itu diberikan kepada johan Qari Wilayah Persekutuan Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad, 41, dan Qariah Normalina Alias, 35, dari Negeri Sembilan.
"Tabung Haji kini dalam rangka mengumpul enam peserta yang memenangi Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran sebelum ini untuk dijadikan ikon ke pedalaman dan kampung bagi mencungkil bakat baru.
"Ini antara usaha TH dalam mengembangkan syiar Islam di negara ini dan berharap lebih ramai bakat baru dapat dibentuk seterusnya mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Normalina berkata, dia bersyukur atas dua kemenangan diperoleh iaitu juara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Walaupun sudah enam kali mencuba di peringkat kebangsaan, tidak sangka rezeki milik saya kali ini.
"Malah percubaan pertama peringkat antarabangsa juga milik saya apabila berjaya mengalahkan peserta negara lain," katanya.
Sumber : MyMetro