RM50 Juta Bina 12 Padang Bola Sepak Tiruan Termasuk Di Alor Setar


KOTA BHARU – Kementerian Kewangan (MOF) memperuntukkan RM50 juta bagi membina 12 padang bola sepak tiruan di seluruh negara sejak 2012.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata ia merupakan projek khas di bawah Rancangan Malaysia ke-10 bagi membantu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.

“Setakat ini, sembilan padang tiruan telah disiapkan di Putrajaya, Cyberjaya, Shah Alam, Johor Bahru, Melaka, Kuantan, Alor Setar, Perlis dan Seremban.

“Tiga lagi padang tiruan masih dalam proses pembinaan membabitkan Kota Bharu, Labuan dan Pontian,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan padang bola sepak tiruan di Kompleks Sukan Padang Perdana di sini, semalam.

Mohd Irwan Serigar berkata MOF melaksanakan projek tersebut secara berperingkat dan ia diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing untuk penyelenggaraan.

Beliau berkata setiap padang tiruan itu berkeluasan kira-kira 105 meter X 68 meter dan menepati piawaian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan menggunakan teknologi Jerman yang mampu bertahan antara lapan hingga 10 tahun.

Katanya padang tiruan itu turut dilengkapi dengan kemudahan lampu limpah serta pagar dan boleh disewakan. – BERNAMA