POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuat rombakan pertama dengan pertukaran 15 pegawai di Melaka susulan penahanan anggotanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan itu adalah sebagai langkah untuk mencegah rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai dan anggotanya.
Katanya, pihaknya menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang giat mengambil langkah bagi mengesan dan mengenakan tindakan terhadap pegawai serta anggota melakukan perbuatan sama.
"Rombakan pertama sudah buat dengan mengeluarkan arahan pertukaran beberapa pegawai di Melaka dan saya sendiri akan pergi ke Melaka pada Jumaat ini untuk bertemu mereka.
"Setakat ini, kita sudah ambil tindakan lebih 20 individu yang melakukan perbuatan salah.
"Kita mohon warga PDRM dan orang ramai tampil melaporkan sekiranya (mempunyai maklumat) berlaku rasuah dan salahguna kuasa kerana JIPS sentiasa membuka ruang menerusi pelbagai cara termasuk menyembunyikan maklumat peribadi (pengadu)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Sebelum itu, sembilan individu termasuk enam pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ditahan SPRM kerana dipercayai menerima rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di sekitar negeri terbabit.
Mereka ditahan membabitkan dua Ketua Polis Daerah masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintendan, dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan dan dua Inspektor.
Sumber: Harian Metro