Ronaldo Bakal Sertai Messi Ke Penjara?


MADRID – Kurang 20 jam selepas penyokong Barcelona bimbang dengan nasib Lionel Messi yang dihukum penjara akibat penipuan cukai, fokus beralih kepada bintang pe­nyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Radio Sepanyol, Cadena Ser baru-baru ini mendedahkan, Ronaldo disyaki menipu pengutip cukai di negara itu dengan mengelak untuk membayar 8 juta euro (RM38.46 juta).

Ketua pasukan Portugal itu dikatakan gagal membayar cukai hasil pendapatannya dalam hak imej komersial dari 2011 hingga 2014.

Jika didapati bersalah, Ro­naldo boleh dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan, selain diarah membayar semula 8 juta euro.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Sepanyol mengesahkan hukuman penjara 21 bulan ke atas Messi kekal selepas rayuan bintang Argentina tersebut ditolak.

Tahun lalu, Messi dan ba­panya dikenakan hukuman penjara tujuh bulan atas tiga kesalahan melanggar Perbendaharaan Awam menipu cukai bernilai 4.1 juta euro (RM19.68 juta).

Dia turut didenda 2 juta euro (RM9.60 juta).

Sejurus selepas hukuman dijatuhkan, Barcelona mengeluarkan kenyataan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada bintang mereka itu.

“Kelab sekali lagi ingin me­negaskan, kami memberi sokongan penuh kepada Lionel Messi, bapanya, Jorge Messi dan seluruh keluarga mereka,” kata jurucakap Barcelona, Josep Vives dalam satu kenyataan kelmarin. – AGENSI