Salah Parkir: Bukan Hanya Kereta, Basikal Pun Disita Singapura


SINGAPURA – Lazimnya pihak berkuasa tempatan menyita kereta atas kesalahan parkir di tempat larangan, namun kini lain halnya di Singapura apabila basikal juga dikenakan tindakan sama.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dilaporkan media tempatan terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap puluhan basikal yang sengaja diletakkan secara haram sehingga mengganggu aliran pergerakan pejalan kaki.

Stesen penyiaran milik pemerintah, Channel NewsAsia melaporkan, hampir 50 buah basikal berjaya dirampas sepanjang operasi khas minggu ini yang julung kali dilakukan pihak LTA di seluruh pulau republik berkenaan.

Jurucakap LTA ketika dihubungi bagaimanapun berkata, yuran pentadbiran akan dikenakan bagi pemilik yang ingin mendapatkan semula basikal tersebut sebagaimana kesalahan serupa dibuat oleh pemandu kereta persendirian.

Gambar-gambar disiarkan menerusi laman Facebook rasmi LTA menunjukkan basikal-basikal yang diletakkan secara haram di beberapa lokasi termasuk perhentian bas dan laluan pejalan kaki di kawasan perumahan.


Operasi penguatkuasaan itu dijalankan setelah zon-zon parkir basikal baharu disediakan, antaranya di 11 buah stesen kereta api tempatan pada Mac lalu, yang menyediakan lebih daripada 900 ruang bagi pengguna basikal.

Tahun lalu, LTA menubuhkan sebuah pasukan penguat kuasa yang disertai Polis Trafik Singapura bagi operasi secara bersama membanteras gejala ‘mat rempit’ basikal di negara maju berkenaan yang semakin berleluasa.

Ini termasuk tindakan tegas terhadap penunggang basikal elektrik yang sengaja memandu melebihi had kelajuan ditetapkan pihak berkuasa iaitu 20 kilometer sejam di kawasan tumpuan awam. – Agensi