Saman Kesalahan Tempat Letak Kereta Masih Berkuat Kuasa


GEORGETOWN - Keputusan kes saman tempat letak kereta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Mahkamah Khas Trafik di sini kelmarin tidak mempengaruhi kes-kes kesalahan tempat letak kereta lain yang dikeluarkan oleh majlis itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Jabatan Khidmat Pengurusan MBPP, semua pemberitahuan tentang kesalahan (kompaun) yang dikeluarkan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Tempat Letak Kereta) 2014 adalah masih berkuat kuasa.

"Tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan akan terus diambil sekiranya pengguna tempat letak kereta gagal menjelaskan kompaun yang dikeluarkan ke atas mereka," menurut kenyataan itu, di sini semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan di media sosial bahawa MBPP tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan saman.

Mahkamah Khas Trafik telah memutuskan dalam satu daripada kes bagi kesalahan meletak kereta di luar petak bahawa pihak pendakwaan (MBPP) gagal membuktikan kes prima facie atas alasan isu teknikal dan disebabkan itu, Orang Kena Saman telah dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.

Susulan itu, MBPP menafikan penularan kes berkenaan di media sosial dan menyifatkan ia sebagai tidak benar sama sekali. - Bernama