Sampah Haram Terbakar, Tapi Dikata Putrajaya "Hangus" Konon Kerajaan "Zalim"


SEPANG – Sebuah tapak pelupusan sampah yang dipercayai haram terbakar awal pagi tadi di Kampung Limau Manis, di sini mencetuskan suasana kecoh dalam kalangan netizen tempatan.

Apa tidaknya, ada pengguna media sosial tidak bertanggungjawab membuat ‘cerita’ konon Putrajaya yang terletak bersebelahan sedang berjerebu hangus dijilat api akibat kezaliman pihak kerajaan Pusat terhadap Selangor.

Hakikat kisah sebenarnya ialah insiden tersebut disebabkan kebakaran di sebuah kawasan pembuangan sampah tanpa permit pihak berkuasa sehingga mengakibatkan suasana kabus kering menyelubungi tempat terbabit.

Ini turut disahkan jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya yang menjelaskan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8 pagi Selasa dan dua buah jentera bergegas ke tempat kejadian berkenaan.

Menurutnya, kebakaran tersebut agak besar kerana membabitkan tanah belukar seluas tujuh ekar dan anggota bomba terbabit sedang gigih berusaha untuk memadamkan sumber api di sekitar kawasan berkenaan.

“Anggota kami sedang berusaha bagi memadamkan kebakaran dan punca kejadian itu masih lagi dalam siasatan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sehingga pukul 1.30 tengah hari tadi, anggota masih kekal berada di lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran kecil daripada terus merebak.

Difahamkan, lokasi tersebut berdekatan dengan rumah kongsi haram namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, menerusi akaun salah seorang pengguna Twitter AB @xpfenomx mendakwa kawasan pelupusan sampah haram tersebut sudah terbakar sejak empat hari lalu.

“Dah 4 hari kawasan sampah haram Kampung Limau Manis Sepang ini terbakar. Rakyat dah lemas dengan asap tebal. Please help!,” tulisnya seolah-olah meluahkan kekecewaan.



Namun, sehingga laporan ini ditulis, tiada pengesahan daripada pihak yang berwajib mengenai dakwaan tersebut.-Kedahnews.com