MIRI - Pasukan Tindakan Khas Hidupan Liar (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) berhempas pulas hampir satu jam untuk menaikkan seekor buaya seberat hampir 1,000 kilogram yang ditangkap di Sungai Suai, Niah, di sini, kelmarin.
Buaya sepanjang enam meter itu ditangkap pada jam 12 tengah hari selepas reptilia terbabit termakan umpan ayam yang dipasang di sungai berkenaan dalam satu operasi pelupusan buaya.
Malah, pasukan SWAT terpaksa mendapatkan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung untuk menaikkan buaya itu ke darat.
Sebaik berjaya dinaikkan ke darat, reptilia terbabit terpaksa diangkat menggunakan jentolak ke dalam lori APM berikutan saiznya terlalu besar dan berat sebelum dipindahkan untuk tindakan lanjut.
Jurucakap SFC dalam satu kenyataan berkata, pemburuan itu dilakukan sejak 14 Mei lalu selepas pihaknya menerima aduan penduduk kampung berhubung kehadiran buaya di sungai berkenaan.
Menurutnya, sebanyak tiga umpan menggunakan ayam dipasang bagi menangkap buaya berkenaan sebelum buaya itu termakan salah satu umpan yang dipasang.
“Buaya itu kemudian dipindahkan ke Ladang Buaya Benaya, di sini. SFC turut berterima kasih kepada penduduk kampung dan APM yang turut membantu sepanjang operasi itu,” katanya.
Sumber : MyMetro