'Saya Rasa Bersalah Tidak Dapat Menyumbang Mata Pertama' - Tan Wee Kiong


KUALA LUMPUR - “Saya rasa bersalah tidak dapat menyumbang mata pertama,” kata pemain beregu lelaki, Tan Wee Kiong selepas Malaysia gagal mencipta kejutan ke atas Jepun pada perlawanan terakhir Kumpulan 1C Piala Sudirman di Pusat Sukan & Rekreasi Gold Coast, Australia semalam.

Kekalahan 2-3 ke atas Jepun menyaksikan Malaysia yang sudah mengesahkan slot ke suku akhir terlepas peluang menjadi juara kumpulan.

Wee Kiong yang bergandingan bersama Goh V Shem terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda selepas tumpas 21-18, 17-21, 16-21.

“Saya sudah melakukan yang terbaik tapi saya mempunyai keyakinan terhadap pasukan. Kami akan terus memberi tumpuan kepada aksi berikutnya (suku akhir) dengan semangat serta perwatakan positif,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Jelasnya, dia menggesa semua rakan sepasukan supaya melupakan kegagalan semalam kerana tidak ada yang mustahil serta perjuangan mereka juga masih belum terhenti.

“Seperti yang saya katakan, kita harus terus berjuang,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio dan Juara Siri Super Akhir 2016 itu.

Dalam aksi kedua, perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa akur dengan kehebatan pemain nombor tiga dunia, Akane Yamaguchi apabila tumpas straight set, 6-21, 7-21, sebelum Datuk Lee Chong Wei cuba merapatkan kedudukan 1-2 mengalahkan Yu Igarashi 21-8, 21-5.

Jepun mengesahkan kemenangan mereka apabila pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yeng tunduk di tangan gandingan nombor satu dunia, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 17-21, 18-21.

Pada aksi terakhir yang tidak memberi sebarang makna buat skuad negara, pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menumpaskan Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-16, 16-21, 21-19

Kelmarin Malaysia mengesahkan slot ke suku akhir selepas menumpaskan Jerman 5-0 dengan hanya juara bersama naib juara kumpulan mara ke suku akhir kejohanan berpasukan campuran ini.

Sumber : MyMetro