Sekumpulan Individu Dari Sungai Dua, Dakwa Ditipu Skim Pelaburan Emas


SUNGAI DUA - Sekumpulan individu kecewa apabila mendakwa tidak dapat pulangan hasil pelaburan emas disertai mereka bermula pada 2014 dan 2015.

Bukan itu sahaja, mereka turut mendakwa syarikat terbabit yang dipercayai beralamat di Sungai Dua, Butterworth sudah tidak beroperasi lagi.

Seorang mangsa mahu dikenali sebagai Mohd Ishak, 45, berkata, dia terlibat dalam skim tersebut sejak 2015.

“Sekitar 2 Januari 2015, saya serah RM204,000 kepada seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemilik syarikat tersebut untuk beli emas seberat 2,150 gram (g) di kedainya yang terletak di Sungai Dua, Butterworth.

“Masa tandatangan surat perjanjian, dia janji nak serahkan emas dalam tempoh 30 hari bekerja, tapi sampai sekarang tak dapat,” katanya.

Menurut Mohd Ishak, lebih malang apabila usahanya untuk menghubungi individu terbabit tidak berjaya.

“Saya cuba juga hubungi guna nombor telefon diberinya sebelum ni, tapi tak dapat. Bimbang juga masa tu, jadi saya pergi ke kedainya, tapi dah tutup dan tak beroperasi lagi,” katanya.

Menurut mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 30, semua pelabur dipercayai dijanjikan dengan dividen selepas menyimpan emas yang mereka beli daripada syarikat tersebut dalam tempoh 30 hari.

“Mulanya saya labur 500g emas bersamaan RM30,000 pada 2015 selepas diyakinkan pengasas syarikat. Kemudian saya labur lebih banyak wang. Bagi tempoh tiga bulan, saya dah labur kira-kira RM500,000 untuk jongkong emas seberat 4.4kg.

“Saya mula mempersoalkan kepada pemilik syarikat selepas itu. Manakan tidak, ia tidak seperti yang dijanjikan. Banyak alasan diberikannya. Dia beritahu dia kena rompak, tapi saya cuba semak dakwaannya, ternyata semua palsu. Dia juga katakan yang syarikatnya bermasalah.

"Difahamkan, skim pelaburan emas ini melibatkan hampir 30 hingga 40 mangsa. Kami mahu perkara ini ditangani segera. Beberapa laporan polis juga sudah dibuat sebelum ni,” katanya.

Sumber : Sinar Online