Selagi Hayat Ada, Setia Kita Hanya Kepada Parti - Veteran Wanita UMNO Kedah


ALOR SETAR  - Tidak ramai golongan wanita UMNO yang pernah meninggalkan partinya tetapi kembali aktif memimpin parti asalnya hingga sekarang.

Namun bagi Datuk Salmah Md Isa, 65, beliau adalah antara Ketua Wanita UMNO Bahagian yang paling kanan di negeri Kedah, masih aktif sama ada di peringkat UMNO Negeri mahu pun Bahagian.

Beliau hanya meninggalkan UMNO selama empat tahun apabila menuruti suaminya yang menyertai Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) suatu ketika dahulu.

Namun selepas parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dibubarkan, Salmah yang mula aktif denganUMNO sejak 1971, kembali mengetuai Wanita UMNO Bahagian Pokok Sena.

“Selagi ada hayat dan sihat saya akan terus memberikan sumbangan kepada parti, “ kata Salmah ketika ditemubual oleh Kedahnews.com sempena sambutan ulang tahun ke-71 UMNO pada Khamis 11 Mei, esok.


Beliau melihat UMNO merupakan parti tunggal mewakili orang Melayu yang besar dan berpengaruh sejak awal penubuhannya hingga sekarang. UMNO masih utuh walaupun berlaku beberapa krisis kepimpinan.

“Selagi kita masih setia kepada parti, UMNO akan terus relevan walaupun pemimpinnya silih berganti. Kita tidak boleh mengharapkan parti lain untuk melindungi dan membangunkan masa depan negara dan orang Melayu, “ kata Salmah yang pernah diberi kepercayaan mengetuai Wanita Negeri Kedah dan Exco Wanita UMNO Malaysia, di sini hari ini.

Sejak zaman remajanya, Salmah menjadi ahli UMNO di cawangan Kampung Sungai Mati, Langgar, Pokok Sena, melalui zaman yang sukar khususnya bagi penduduk luar bandar selepas merdeka.

Namun katanya, perjuangan orang Melayu melalui UMNO telah berjaya sedikit demi sedikit membawa keluar orang Melayu daripada kemunduran di dalam berbagai bidang.

"Dulu amat sukar untuk melihat pegawai profesional di kalangan anak-anak Melayu, khususnya golongan wanita," kata Salmah lagi.

Beliau mengakui beberapa dasar kerajaan terutama untuk kepentingan wanita telah dijadikan undang-undang dan dasar oleh kerajaan yang bertulang belakangkan UMNO ini, antaranya lahir Kementerian Pembangunan Wanita,  Keluarga dan Masyarakat.

Salmah yang turut aktif dalam pergerakan belia dan pernah menyandang jawatan  Naib Presiden Majlis Belia Malaysia dan Negeri Kedah berharap UMNO akan terus disokong oleh orang Melayu walaupun parti keramat ini cuba dimusnahkan oleh pemimpin Melayu sendiri.

“Kita tidak ada pilihan lagi.. ketika parti-parti  lain terus bertelagah, hanya UMNO yang tetap kukuh dan terus merancang pembangunan rakyat walaupun ada pelbagai usaha untuk menjatuhkan pucuk pimpinannya, “ kata Salmah.

Parti yang terkenal dengan jolokan "Parti Keramat Bangsa" itu bakal meraikan Ulang Tahun ke-71, sekaligus menyaksikan pengukuhan parti berkenaan sebagai paling lama bertahan dan tetap menjadi pilihan tradisi rakyat di negara ini. - Kedahnews.com