Selepas Dikritik PPBM, Rafizi Alu-Alukan Audit Kajian Invoke

rafizi-invoke

PETALING JAYA - Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau tidak mahu memanjangkan perdebatan mengenai keputusan kaji selidik Invoke Malaysia baru-baru ini yang menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pilihan penyokong pembangkang untuk jawatan perdana menteri.

Beliau mengulas persoalan yang dibangkitkan seorang pemimpin PPBM mengenai kaedah kaji selidiknya kerana ia kekurangan butiran lengkap dan kadar responden yang terlalu sedikit berbanding dengan mereka yang ditemubual.

“Tidak produktif untuk memanjangkan perselisihan mengenai kaji selidik itu. Jadi, saya tidak akan membuat isu mengenainya,” kata Rafizi.

“Sesiapa pun boleh mentafsir. Saya hanya membentangkan hasil penemuan.”

Beliau turut mempertahankan kaji selidik itu adalah bebas dan tidak kena mengena dengan partinya.

“Kaji selidik Invoke itu bukan PKR dan kita boleh audit kerana temubual direkodkan.

Menurut kaji selidik Invoke yang diumumkan Rabu lalu, daripada 18,000 yang memberi respon, 31% didapati mahu mengekalkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, sementara 34.6% memilih 9 calon pembangkang termasuk Rafizi.

Antara 9 calon itu, Anwar menerima sokongan 23.5%, diikuti Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan undian 17.6%, Dr Mahathir (16.5%) dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (12.6%).

Bagaimanapun Pengerusi Biro Dasar dan Strategik PPBM Datuk Rais Hussin semalam berkata kaji selidik itu menimbulkan beberapa keraguan, termasuk asas memilih sejumlah 2.8 juta orang untuk disoal melalui telefon.

“Apakah asas menelefon 2.8 juta orang pengundi? Perlu difahami saiz sampel yang besar tidak semestinya menghasilkan anggaran parameter yang tepat. Tanpa alasan yang dapat dipertahankan, bilangan ini dilihat sekadar permainan angka dan tanggapan non-saintifik, iaitu saiz sampel yang besar mencerminkan keputusan yang berkualiti tinggi,” kata Rais.

Rais berkata kajian Rafizi itu perlu diperakukan sekumpulan pakar bebas.

“Tanpa proses ini, keputusan, kesimpulan, dan cadangan yang dikemukakan mudah dipersoalkan. Proses tersebut pastinya membantu supaya kajian tersebut berjaya mencapai tahap tentu sah dan kebolehpercayaan yang munasabah,” katanya.

Sumber: Free Malaysia Today