JOHOR BAHRU - “Saya tidak pernah jijik menguruskan Nor Azlin termasuk ketika datang bulan kerana dia darah daging saya, semoga dia menunggu saya di pintu syurga,” kata bapa orang kurang upaya (OKU), Amran Jabar, 53, semalam.
Amran berkata, sebagai duda anak empat, dia bersyukur kerana Allah memberi kekuatan kepadanya menggalas tanggungjawab sebagai bapa sebaik mungkin serta menjaga kebajikan anak syurga itu.
Dia yang juga bekas tentera laut berkata, ujian paling berat dilaluinya ketika menjaga arwah isterinya, Siti Noridah Jamal yang menderita kanser selama enam tahun sebelum meninggal dunia empat tahun lalu.
Menurutnya, pada masa sama dia juga menguruskan anak sulung, Nor Azlin, 27, yang menghidap palsi serebrum (CP) sejak dilahirkan.
Katanya, sebelum isterinya jatuh sakit, arwah menjaga Nor Azlin termasuk mengurus makan minumnya sepenuh masa.
“Ketika isteri sakit, saya menjaga kedua-duanya. Sebagai lelaki memang sukar menguruskan kerja rumah dan memandikan mereka selain menyediakan makanan tetapi alhamdullilah semuanya lancar.
“Insya-Allah sehingga kini, saya masih berpegang janji arwah isteri supaya menjaga Nor Azlin dan tidak mengabaikannya.
“Ia memberi kekuatan kepada saya untuk tidak berkahwin lagi dan sekurang-kurangnya selepas saya meninggal dunia, saya berharap anak lain mengikut jejak dan menjaga kakak sulung mereka,” katanya.
Amran berkata, beberapa kenalannya pernah memberi cadangan mengambil jalan mudah dengan menghantar Nor Azlin ke rumah kebajikan namun dia enggan demi janji kepada arwah isteri.
Menurutnya, demi menyara Nor Azlin dan anak bongsu lelaki berusia 16 tahun, dia mengumpul barangan kitar semula dan menjualnya dengan pendapatan RM5 sehari.
Katanya, dia menggunakan wang berkenaan untuk membeli makanan Nor Azlin dan anak bongsunya.
“Disebabkan masalah kewangan, saya hanya makan apa yang ada dan kebanyakannya memasak mi segera.
“Buat masa ini, hanya dua perkara saya tidak pandai buat berbanding suri rumah iaitu memasak dan menjahit, sebaliknya dalam hal mengemas dan sebagainya saya tiada masalah,” katanya.
Amran berkata, dia sanggup membersihkan Nor Azlin termasuk menukar lampin pakai buang, lap tubuh dan membersihkannya ketika datang bulan.
Menurutnya, pada masa sama, dia mengakui tidak mahu membebani anak kedua yang sudah berumah tangga dan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda perubatan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) serta anak ketiga yang mengikuti pengajian kejuruteraan peringkat ijazah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Melaka.
Katanya, kedua-dua anaknya itu juga membantu menjaga Nor Azlin setiap kali pulang ke rumah di Jalan Nibong 22, Taman Daya, di sini.
“Nor Azlin zuriat saya dan tiada sebab saya perlu segan menjaganya. Saya bersyukur kerana menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 sebulan bagi menampung sebahagian kos membeli lampin pakai buang.
“Ada pihak pernah mencemuh saya kerana tidak bekerja walhal saya masih kuat untuk menyara keluarga, namun mereka tidak faham saya perlu menjaga Nor Azlin setiap masa,” katanya.
Amran berkata, selepas menamatkan perkhidmatan sebagai tentera laut dia menjual barangan antik dan dikenali sebagai Bob antik JB dalam kalangan penggemar barangan itu di seluruh negara.
Menurutnya, kini dia hanya memiliki beberapa koleksi barangan antik termasuk katil dan perabot.
“Saya mahir mengukir kayu hiasan dan landskap rumah dan berbesar hati jika ada yang sudi memberi peluang melakukan pekerjaan itu dari rumah bagi membolehkan saya mencari pendapatan di samping menjaga Nor Azlin,” katanya.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Amran menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0114941000042932.
Sumber: myMetro