Peniaga hanya berniaga pada hari tertentu. |
YAN - Pusat peranginan Sri Perigi berdekatan Air Terjun Titi Hayun dilihat kurang dikunjungi ramai walaupun dikelilingi pemandangan yang cantik dengan air terjun yang unik.
Sri Perigi seolah-olah ‘tenggelam’ walaupun terletak hanya lima kilometer dari Pekan Yan dan memiliki air terjun tertinggi di Kedah yang melebihi 100 meter.
Penduduk, Ramli Ahmad Mat Isa, 47, berkata, perbezaan pengunjung amat ketara apabila pusat peranginan berdekatan Sri Perigi iaitu Titi Hayun dibangunkan dengan pembinaan tandas dan ruang parkir yang selesa.
“Sejak ada kemudahan tu, ramai pengunjung pi sana.
“Di sini hanya ada seorang peniaga, itu pun seminggu buka dua tiga hari saja. Sayang sebab tempat elok, tapi pengunjung kurang. Kalau ada pengunjung pun, depa bergambar di tepi air terjun yang tinggi sebelah atas, tapi mandi di Titi Hayun,” katanya.
Menurut Ramli, sekiranya ada ruang parkir yang selesa, pengunjung pasti akan kembali ke Sri Perigi.
Air terjun tinggi yang cantik di Sri perigi |
“Saya yakin kalau ada tempat letak kereta lebih elok, mesti ramai mai sini sebab cantik,” katanya.
Pengunjung, Nor Asni Kanapi, 52, berkata, dia yang tinggal di daerah itu tidak pernah mengetahui mengenai kecantikan kawasan Sri Perigi.
Katanya, kerajaan negeri seharusnya mempromosikan lokasi sebegitu supaya lebih dikenali ramai.
“Saya tau tempat ni, tapi tak tau pula yang tempat ni sangat cantik. Saya mai pun sebab bawa kawan anak dari Kelantan jalan-jalan. Ni kali pertama saya sampai sini. Insya-ALLAH lepas ni saya akan bawa keluarga ke sini.
“Saya rasa kalau promosi dengan baik, Sri Perigi akan dapat perhatian semula dan dikunjungi ramai,” katanya.
Air di Sri Perigi yang sedikit kekuningan |
Bagi pekerja kebersihan, Azhar Abdul Aziz, 34, dia bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan Sri Perigi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 4 petang.
“Alhamdulillah, kawasan keliling selalu bersih, cuma kurang dapat sambutan berbanding Titi Hayun yang sentiasa penuh dengan pengunjung. Saya rasa mungkin sebab tempat letak kereta sikit,” katanya.
Azhar berkata, walaupun warna air sungai di situ agak kekuningan dan seakan kotor, namun sebaliknya ia bersih.
Tambahnya, pejabat kesihatan pernah membuat tinjauan dan mengatakan air itu kuning disebabkan air batu, namun selamat untuk pengunjung mandi.
“Mungkin bila orang mai tengok air kuning, tak mau mandi sebab ingatkan kotor, sedangkan air itu selamat. Saya pun selalu mandi di sini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian