Siapa Turun 1 Kilogram, Dapat RM62 Tunai


BEIJING - Sebuah syarikat di China menarik perhatian media selepas menawarkan ganjaran kepada setiap pekerja yang berjaya mengurangkan berat badan.

Idea itu diusahakan oleh Wang Xuebao, Pengarah Syarikat Perunding Pelaburan Xian Jingtian di Xian City, dengan menawarkan wang sebanyak 100 yuan (RM62) bagi setiap kilogram yang berjaya dikurangkan oleh pekerjanya.

Menurut portal Oddity Central, Xuebao membangkitkan idea itu selepas mendapati stafnya termasuk dirinya sendiri menghabiskan banyak masa di meja masing-masing dan kurang bergerak.

Xuebao menganggap situasi itu tidak bagus untuk kesihatan diri selain menyebabkan masalah obesiti dalam kalangan pekerja.

"Saya berasa tertekan kerana ramai pekerja menghabiskan masa di meja, kurang bergerak dan semakin gemuk.

"Menerusi aktiviti mengurangkan berat badan, kita boleh membentuk budaya dan bersaing secara sihat demi kesihatan diri," katanya.

Usaha itu dimulakan sejak Mac lalu dan ternyata ia memberi motivasi kepada lebih separuh staf syarikat itu untuk mengurangkan berat badan.

Kebanyakan mereka mula mengamalkan gaya pemakanan yang sihat serta sanggup mengunjungi gimnasium sekerap mungkin bagi mendapatkan ganjaran yang ditawarkan oleh bos mereka.

Zhou Wei, seorang pekerja wanita yang berjaya mengurangkan berat sebanyak 20 kilogram dalam tempoh dua bulan, telah mengumpul ganjaran sebanyak 2,000 yuan (RM1,200) selepas setiap hari pergi ke gimnasium dan menukar gaya pemakanan.

Bagaimanapun Xuebao menetapkan syarat khas iaitu setiap staf perlu mengurangkan berat badan sekurang-kurangnya tiga kilogram sebelum diberikan ganjaran.

Sumber: mStar