Sindiran PKR Terhadap PAS Tidak Masuk Akal

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek
KUALA LUMPUR - Tindakan PKR mengarahkan lantikan politik dari parti itu di Kelantan melepaskan jawatan diibaratkan sebagai sindiran tidak masuk akal dan lemah, supaya PAS turut mengambil langkah sama di Selangor.

Keputusan PKR itu dilihat pemerhati politik hanya untuk memalukan dan menjatuhkan maruah PAS, selain desakan 'halus' untuk tiga EXCO PAS di Selangor melepaskan jawatan selepas kerjasama politik antara dua parti berkenaan terbatal.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata keputusan PKR itu juga boleh diibaratkan satu usaha untuk menggambarkan parti mereka lebih berkuasa berbanding PAS.

Beliau berkata, keadaan politik di dua negeri berbeza kerana arahan supaya lantikan politik melepaskan jawatan di Kelantan tidak akan mengubah struktur politik negeri berkenaan.

"Jika tindakan PKR itu bertujuan menyindir PAS ia adalah sindiran tidak masuk akal dan sangat lemah.

"Kalau PKR menganggap mereka parti lebih kuat dan lebih berani dalam mencatur politik, mereka seharusnya mengadap Sultan Selangor memohon perkenan untuk memecat tiga EXCO PAS di negeri itu, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Halim berkata, PKR tidak boleh mendabik dada dengan kedudukan kerusi Pakatan Harapan di Selangor yang menggabungkan parti itu dengan DAP dan Parti Amanah Negara.

Katanya, ini kerana dua kerusi Parti Amanah Negara yang juga parti serpihan PAS dimenangi atas tiket PAS yang berkemungkinan akan mudah diambil oleh calon PAS dan Barisan Nasional (BN).

"Dengan mengambil kira Parti Amanah Negara yang tidak mempunyai asas politik kukuh di Selangor selain kembalinya kekuatan BN di negeri itu, dijangkakan Pakatan Harapan Selangor berdepan saingan sengit pada Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya.

Sumber: BH Online