Skuad Tok Gajah Bukan Pilihan - Presiden PBNP


KUANTAN - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah tetap menganggap skuad Tok Gajah sebagai bukan pilihan berbanding Kedah menjelang aksi kedua-dua pasukan pada final Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Tengku Abdul Rahman mengakui Kedah adalah pasukan mantap jika dibandingkan Pahang yang baru dibentuk semula musim ini.

"Memang Kedah pasukan handal dan mantap. Malah, pemain mereka sudah lama bersama.

"Saya masih anggap kita sebagai pasukan underdog (bukan pilihan) tapi saya yakin pemain akan bermain mati-matian dan kita akan terima apa saja keputusan nanti.

"Saya harap satu permainan yang menghiburkan dapat dipamerkan. Saya tidak perlu memberikan apa-apa amanat kepada pemain kerana mereka tahu tugas masing-masing," katanya, semalam.

Tengku Abdul Rahman turut berharap semua penyokong tidak membeli tiket daripada ulat tiket yang kemungkinan berdepan risiko ditipu sindiket tiket palsu.

"FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan pihak berkuasa sudah buat kenyataan, jadi saya rasa tidak perlu ulas lebih (lanjut).

"Kita semua sudah faham dan (penyokong) seharusnya elak daripada membeli tiket yang tidak asli," katanya.

Beliau turut berharap kedua-dua penyokong dapat memberikan sokongan terbaik dan menjadi model terbaik kepada seluruh peminat sukan nombor satu negara itu.

"Saya harap kedua-dua pasukan dapat memberikan satu permainan berprestasi tinggi memandangkan ia adalah final.

"Kedua-dua penyokong juga diharap menerima apa saja keputusan dan memang impian saya untuk melihat penyokong di Malaysia menjadi contoh terbaik kepada peminat bola sepak seluruh dunia," katanya.

Sumber: BH Online