SOP Lebih Ketat Aktiviti Rekreasi Hutan


CYBERJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi aktiviti rekreasi hutan melibatkan semua institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya ketika ini sedang mengolahkan satu cara pelaksanaan SOP tersebut di peringkat kementerian.

“Mungkin tidak lama... Dalam satu bulan sahaja Insya-Allah kita akan laksanakan SOP baharu. Kementerian akan melihat semua aspek supaya tidak ada (perkara) yang ketinggalan.

“Apabila SOP ini diperkenalkan, program-program dilaksanakan perlu mematuhinya supaya tidak timbul isu seperti baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video MOHE Soaring Upwards di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), di sini hari ini.

Aktiviti perkhemahan sekumpulan 140 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di Air Terjun Lata Charok, Janda Baik, Bentong, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut manakala enam lagi cedera dihempap pokok, baru-baru ini. 

Sumber: Utusan Online