Sorok Dadah Dalam Kotak Pembesar Suara


TIGA lelaki yang menyembunyikan heroin dan syabu dalam kotak pembesar suara dalam but kenderaan ditahan polis di Dermaga Tanjung Lembung di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, berkata, hasil risikan kesemua suspek berusia antara 30 dan 46 tahun itu ditahan sejurus tiba dari tanah besar pada jam 1.20 tengah hari.

"Ketika berada di dermaga sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) mengesan sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan untuk memasuki laluan pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Pemeriksaan awal mendapati kenderaan itu dinaiki tiga lelaki tempatan termasuk pemandu berusia antara 30 hingga 46 tahun," katanya ketika dihubungi.

Che Ghazali berkata, pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 900 gram (g) dan empat paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 17 g yang disorok dalam kotak pembesar suara dalam but kenderaan itu.

"Polis turut merampas wang tunai RM14,000 daripada ketiga-tiga suspek yang kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Saringan awal yang dibuat polis juga mendapati ketiga-tiga positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Sumber: Harian Metro