SPRM Mahu UMNO Pendukung Utama Gerakan Revolusi Anti Rasuah


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta para pemimpin dan anggota UMNO bekerjasama dengan agensi itu menjadi pendukung utama Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah), sekali gus membersihkan Malaysia daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa.

Merakamkan ucapan tahniah kepada UMNO, yang meraikan sambutan ulang tahun ke-71 penubuhannya hari ini, SPRM berkata ​​​UMNO, sebagai sebuah parti politik yang menjadi teras dan tunjang kepada pemerintahan negara dengan jumlah kerusi terbanyak, pemimpinnya berperanan penting dalam merangka dasar pentadbiran negara untuk pembangunan dan kemajuan negara.

Sebagai pemimpin, anggota UMNO merupakan harapan masyarakat untuk melaksanakan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan mereka, menurut kenyataan itu.

Justeru, pemimpin UMNO perlu memastikan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka dilaksanakan dengan penuh berintegriti serta menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM berharap pemimpin-pemimpin ini mengambil serius tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dan melaksanakannya sebaik mungkin supaya masyarakat mendapat manfaat yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka,” kata kenyataan itu.

Menurut SPRM, pemimpin UMNO hendaklah memberi penekanan terhadap aspek memerangi rasuah dan salah guna kuasa agar dapat menjadi contoh yang baik kepada generasi yang akan memimpin negara pada masa akan datang, sekali gus membentuk masyarakat yang sejahtera dan beretika, bebas daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa. – BERNAMA