Suami Hidap Penyakit Misteri, Rela Berhenti Kerja Jaga Isteri


PENDANG - Demi kasih yang mendalam, seorang pekerja syarikat kebersihan sanggup berhenti kerja demi menjaga isterinya yang dipotong kaki akibat kencing manis.

Zulkifli Ahmad, 46, berkata, dia menerima segala ujian yang diberikan kepadanya walaupun isterinya, Salmiah Mat, 45, sudah tidak seperti dahulu.

"Dia pernah jadi tulang belakang dan kekuatan keluarga kami sebelum dia sakit," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Raya, semalam.  

Menurutnya, pada mulanya isterinya itu terlibat dalam kemalangan, namun disebabkan menghidap kencing manis, kakinya bertukar menjadi kehitaman dan terpaksa dipotong pada bahagian kanan.

"Kejadian berlaku 10 bulan lalu dan sejak itulah saya terpaksa ambil alih tugas urus isteri dan anak yang berusia 8 tahun.

"Kesemua keperluan anak saya perlu uruskan memandangkan isteri tak dapat gerak sendiri dan perlukan bantuan daripada saya," katanya.

Zulkifli berkata, dia juga perlu menanggung ibunya yang tinggal bersama dengannya.

"Dalam tempoh sebulan saya perlu bawa isteri ke hospital untuk dapatkan rawatan.

"Kadang-kadang dalam seminggu hampir dua kali saya perlu bawa isteri ke klinik untuk pemeriksaan darah. Saya bukan suka-suka berhenti kerja, kalau saya kerja, siapa nak uruskan keluarga," katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana menerima wang Socso sebulan sebanyak RM400 dan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

Tambahnya, dia juga terpaksa menanggung kesakitan apabila menghidap penyakit misteri yang dikatakan berpunca dari keturunan.

"Muka saya penuh dengan biji-biji besar hingga ganggu penglihatan.

"Mata kanan saya dah tak nampak dan boleh tengok guna mata kiri saja," katanya.

Meskipun tidak memiliki penglihatan yang baik, Zulkifli tetap memasak untuk isterinya bagi memastikan isterinya itu makan makanan yang berkhasiat.

Orang ramai yang ingin menghubungi keluarga ini bagi tujuan menyalurkan sumbangan bolehlah berbuat demikian ditalian 019-5245936.

Sumber : Sinar Online