JAKARTA – Restoran ‘seksi’ terkenal berasal dari Amerika Syarikat (AS), Hooters yang baru buka cawangan di sini mengenakan syarat ketat bagi pelayan atau lebih dikenal sebagai Hooters Girls.
Antaranya semua Hooters Girls tidak boleh memberikan nombor telefon mereka kepada pelanggan atau memiliki hubungan istimewa dengan pihak pengurusan, demi memelihara suasana harmoni dan tahap profesionalisme.
Perkara rahsia itu didedahkan Pengurus Besar Hooters Jakarta, Sherry Suraji yang ditemui media tempatan semasa pembukaan rasmi restoran berkonsepkan bar sukan berkenaan di Kemang Square, Jakarta Selatan pada Selasa.
Premis itu dibuka dari 11 pagi hingga 2 pagi setiap hari. Sesuai nama dan logo restoran itu merujuk siulan burung hantu dalam bahasa Inggeris, ramai pula sebaliknya mengingati premis tersebut dengan penampilan pelayan seksi.
Hooters yang diasaskan enam sekawan di Florida, AS pada hari April Fool 1983 lalu, kini memiliki 430 cawangan di 30 buah negara dan bakal menambah lagi 30 lokasi baharu di Asia Tenggara dalam masa enam tahun akan datang.
Mengulas lebih lanjut, Sherry menyatakan bahawa, Hooters Girls namun masih lagi boleh berkenalan terutama dengan pelanggan lelaki yang mungkin ‘gatal’ tetapi sekadar memperkenalkan nama dan bukan secara peribadi.
Perbualan itu juga terbatas sekitar menceritakan maklumat mengenai menu dan cawangan Hooters di negara-negara lain. Penampilan Hooters Girls di seluruh dunia memang sering dianggap seksi dengan imej skirt mini.
Bahkan setiap 45 minit sekali, pelayan tersebut juga akan menari dengan iringan muzik sekali gus menjadi hiburan tersendiri bagi pengunjung berbanding kaedah tipikal iaitu pemasangan lagu menerusi sistem pembesar suara.
Menurut Sherry, pelayan sudah dilatih untuk berbicara santai dengan semua tetamu, namun dengan had batasan tertentu. Selain itu, pelanggan dilarang untuk mengajak Hooters Girls duduk semeja minum atau makan bersama.
Peringatan keras akan diberikan kepada pelanggan ketika mereka cuba berhubung secara fizikal dengan setiap Hooters Girls, walaupun pelayan itu merupakan sama ada teman wanita, adik perempuan atau isteri mereka sendiri.
“Jika ada yang mahu mengarah ke sana (hubungan fizikal), Hooters Girls akan segera lapor kepada kami. Pihak pengurusan menjanjikan ‘anak-anak’ kita dijamin berasa selamat sepanjang waktu bertugas,” ujar Sherry lagi.
Meskipun demikian, pihak restoran itu masih lagi membenarkan tetamu untuk merakam gambar atau berswafoto dengan Hooters Girls. Namun, foto tetap harus dalam keadaan wajar dan tidak boleh ke kawasan sensitif tubuh.
Walaupun sudah dibuka kepada umum pada 24 Mac lalu, Hooters Jakarta baru mengadakan acara pembukaan rasmi secara besar-besaran pada 9 Mei dengan tawaran hidangan percuma selain diskaun harga waktu tertentu.
Pengunjung dapat menikmati aneka menu khas negara Uncle Sam itu seperti Chicken Wings, Original Hooters Breaded Wings, Boneless Wings, Baccon Wrapped Wings dan Hooters Naked Wings. – Agensi