T-Team Akui Terperangkap Berdepan Strategi Nidzam Adhza


ALOR SETAR - 'Strategi baru' yang dilakar oleh ketua jurulatih,  Mohd Nidzam Yusoff ternyata memerangkap pasukan T-Team yang tewas kepada skuad Lang Merah di Stadium Darulaman, malam tadi.

Ketua jurulatih T-Team, Rachmat Darmawan mengakui kekalahan 3-0 kepada  Kedah adalah disebabkan kesilapan dirinya membuat percaturan terutama di bahagian tengah.

Semua pemain telah memberikan yang terbaik dan beliau mengambil tanggungjawab atas kekalahan T-Team, kata Rachmat kepada pemberita selepas perlawanan  itu.

"Saya menyangka Sandro da Silva akan bermain di depan dengan Ken Ilso. Jadi saya meletakkan tiga pemain di bek tengah, namun Sandro tidak bermain di posisi itu.

"Di situ pemain barisan tengah kami menemui kesukaran sama ada kami berada dalam posisi menyerang atau bertahan," kata Rachmat.

Beliau bagaimanapun berusaha mengubah taktik pada separuh masa kedua dan mula menemui rentak permainan, tetapi ia agak terlewat untuk bangkit  kerana Kedah sudah pun berada dalam kedudukan  yang selesa.

Namun begitu T-Teamgagal mengambil kesempatan untuk mengurang defisit gol walaupun tuan rumah terpaksa bermain dengan sembilan pemain 15 minit sebelum perlawanan tamat akibat kecederaan yang menimpa Ken Ilso  dan  penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Pada perlawan itu penguasaan bola  di bahagian tengah memudahkan pemain tuan rumah melorongkan bola kepada penyerang import Denmark itu sekaligus  berjaya  meledak tiga  gol pada minit 11, 15 dan 45 separuh masa pertama. 

Kedah dimalukan dengan kekalahan 0-5 kepada T-Team di Kuala Terengganu di pusingan pertama Liga Super semasa skuad Lang Merah itu masih dikendalikan oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe. - Kedahnews.com