"Tak Lekat" Calon PRU14: Adun PAS "Mesra" Pakatan Harapan Pasrah


ALOR SETAR - Adun Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man menegaskan bahawa beliau sudah lama dengar cerita dirinya “tidak lekat” untuk menjadi calon PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau yang merupakan satu-satunya wakil rakyat PAS yang mesih kekal di Pulau Pinang bagaimanapun pasrah sekiranya PAS tidak meletakkannya sebagai calon pada PRU14, selain turut berserah semua keputusan kepada parti Islam tersebut.

"...(saya) dengar lama dah. Tetapi bagi saya yang bukan seorang pimpinan parti, saya tak ada komen pasal isu itu. Saya serah kepada parti untuk buat keputusan," katanya, baru-baru ini.

Menurutnya, apa yang penting pada ketika ini adalah meneruskan khidmatnya sebagai Adun Permatang Pasir dan berharap agar sokongan dan bimbingan terus diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang dalam usaha memikul tanggungjawabnya itu.

"Saya harap, kerajaan negeri tidak terlepas pandang dan sentiasa beri perkhidmatan yang baik khususnya di Permatang Pasir. Saya akan bertugas seperti biasa di Permatang Pasir dan akan terus berkhidmat sehingga habis tempoh," kata  Pengerusi Zakat Pulau Pinang itu.

Isu kedudukan Salleh Man yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang  itu mula timbul apabila Dewan Ulama Pas meluluskan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dan kerjasama politik antara Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula berkata pihak kerajaan negeri akan melakukan perbincangan bagi merungkai status kedudukan Salleh Man dalam pentadbiran negeri berkenaan memandangkan PAS enggan untuk bekerjasama dengan parti yang terlibat dengan DAP. – Kedahnews.com