Tamingsari Ditemui Di Sungai Britain?


LONDON – Penemuan sebilah keris lama di dasar Sungai Towy mencetuskan persoalan misteri dalam kalangan pakar sejarah Britain mengenai siapakah pemilik sebenar senjata Melayu tersebut.

Keris tersebut dijumpai berdekatan bandar kecil Carmarthen, Wales kira-kira 341 kilometer dari ibu kota London dan berita pelik berkenaan kemudian menjadi tumpuan tular dalam kalangan netizen di negara itu sendiri.

Penemuan benda bersejarah tersebut turut mengejutkan masyarakat tempatan kerana benda logam itu berbentuk seumpama sebilah keris, sejenis senjata tradisional terkenal masyarakat gugusan Nusantara zaman dahulu.

Seorang nelayan tempatan, Andres Davies, dipetik oleh media Britain menemui keris berkenaan ketika dia sibuk menebar jaring di permukaan sungai tersebut. Keris lama itu dipercayai mungkin berasal dari abad ke-18 lalu.

Pada masa ini, objek itu sedang diteliti pasukan arkeologi Britain untuk menentukan usia sebenarnya selama berada di dasar Sungai Towy sejauh 120 kilometer dan merupakan sungai kedua terpanjang di Wales selepas Teifi.

Davies, yang merupakan ketua persatuan nelayan di Carmarthen, menyatakan bahawa dia menjumpai keris bernilai sejarah itu secara tidak sengaja. Sungai tersebut memang terkenal dipenuhi dengan ikan salmon dan trout.

“Satu malam saya berada di atas perahu dan menebar jaring. Ketika menarik jaring tersebut, benda khas dari Asia itu tiba-tiba tersangkut di dalamnya,” kata beliau yang cukup terkejut setelah menemui keris lama tersebut.

Sementelahan ujar Davies, Carmathen terletak sangat jauh dari rantau Asia tenggara, kira-kira 10,000 kilometer jaraknya. Jika usia keris itu adalah kurun ke-18, ini bermakna Inggeris baru menjajah Pulau Pinang pada 1786.

“Saya segera bawa ke muzium kerana fikir lebih baik mereka sendiri yang memeriksa dan mencari tahu tentang keris itu,” sambungnya yang turut tidak sabar ingin mengetahui bagaimana keris itu tenggelam di dasar sungai di situ.


Sementara itu, kurator muzium di Carmarthenshire, Gavin Evans menyatakan bahawa beliau telah mengirim foto keris yang sebahagian besarnya agak berkarat itu ke London. Tetapi, setakat ini belum mendapat maklum balas.

“Saya belum dapat jawapan balasan tentang keris ukuran panjang itu. Tetapi ia dipastikan dari Asia, kemungkinan besar dari Malaysia,” katanya yang pada awal menyangka keris itu ialah pedang askar zaman Rom dahulu.

Ini kerana dilihat dari fizikalnya, senjata itu memiliki banyak hiasan dan tampak lebih eksotik. Ada yang menjangka keris tersebut mungkin antara milik laksamana Melayu terkenal era kesultanan Melaka abad ke-15, Hang Tuah.

Secara kebetulan, pahlawan legenda itu pernah memiliki keris pendek atau disebut keris pendua yang menyamai keris dijumpai tersebut; selain menggunakan Taming Sari dan Tempa Melaka atau digelar sebagai keris panjang.

“Ini adalah keris kerana memiliki hiasan pada bilahnya. Gagangnya diperbuat daripada kayu dengan corak kepala burung dari tulang yang dipisahkan oleh material tembaga,” jelas Evans mengenai bentuk fizikal keris misteri itu.

Menurut beliau lagi, objek itu kemungkinan terkubur lama di bawah lumpur sebelum tersangkut pada jaring nelayan. Justeru, ujar Evans, sebahagian besar bahagian keris tersebut tidak dilitupi sampai berkarat habis.

“Banyak kemungkinannya keris ini dapat sampai di Sungai Towy,” kata beliau. Carmarthen suatu ketika dahulu pernah terkenal sebagai sebuah pelabuhan sibuk dan keris itu mungkin terjatuh atau dijatuhkan ke sungai.

“Ada juga kemungkinan yang lebih ngeri. Keris itu mungkin sengaja dibuang oleh pelaku kes pembunuhan tertentu bagi menghapuskan bukti objek senjata yang pernah digunakan oleh si penjenayah tersebut,” ujar Evans lagi.

Kota Carmarthen sendiri terkenal dikaitkan dengan legenda kehebatan Raja Arthur gagah mencabut pedang yang tertancap pada sebongkah batu besar setelah disuruh oleh Tukang Sihir Merlin. – Agensi