Tangan Cetakan 3D: Beri Sinar Baharu 2 Penerima


SUNGAI PETANI – Kira-kira 24 tahun lalu, kehilangan tangan kirinya, membuatkan Ahmad Mustaffa, 56, berasa terlalu rendah diri dan hampir berputus asa.

Beliau berkata, kejadian ngeri pada 1993 itu berlaku sewaktu dia sedang menyelenggara sebuah mesin rosak di sebuah kilang kimpalan tempatnya bekerja.

“Tiba-tiba tangan saya dihempap besi pada mesin itu, menyebabkan pergelangan tangan hancur dan terpaksa dipotong. Hampir tiga bulan saya berusaha mengumpul kembali kekuatan.

“Sebelum kemudian saya dapat menunggang motosikal, memandu kereta, malah lori semula,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Pemasangan Tangan Cetakan 3D di Farmasi Syifa Bestari, Amanjaya di sini.

Ahmad berkata, kunjungannya ke sebuah gerai pameran sewaktu program Ekspresi Negaraku sekitar April lalu di Amanjaya Mall, dekat sini, memberi sinar baharu kepada dirinya.

“Saya sekadar singgah untuk melihat ciptaan tangan 3D yang dipamerkan, namun terkejut apabila pengasasnya, Sujana Rejab memanggil saya dan bertanya sama ada saya mahukannya.

“Kini, saya memperoleh tangan baharu. Biarpun masih kekok untuk menggunakannya, namun saya bersyukur dan berasa gembira,” katanya.

Pesara polis, Lans Koperal Md. Zani Yob Abdul Rasid, 69, pula kehilangan tangan kanannya akibat sengatan tebuan tanah sewaktu pulang ke rumahnya pada waktu malam, sekitar 2014.

Beliau berkata, ketika dimaklumkan bahawa tangannya terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman yang lebih teruk, dia berasa seakan-akan putus harapan.

“Selepas 12 hari dimasukkan ke hospital dan dipujuk oleh anggota keluarga, saya akhirnya bersetuju meskipun rasa terlalu sedih ketika itu kerana tidak lagi sempurna seperti sebelumnya.

“Syukur sokongan arwah isteri, keluarga dan rakan-rakan, banyak memberi semangat dan kekuatan. Kini, setelah mendapat tangan baharu, saya berasa lebih gembira dan terharu,” katanya.

Terdahulu, majlis penyerahan tangan cetakan 3D disempurnakan Pengerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq Razak.

Hadir sama, pengasas tangan cetakan 3D itu, Sujana Rajab atau lebih dikenali sebagai Pak Su, dan Pengarah Farmasi Syifa Bestari, Dr. Mohd. Shahbodin Sharif.

Dalam pada itu, Sujana berkata, penerima tangan itu tidak perlu membuat apa-apa bayaran kerana kos penghasilannya adalah sumbangan orang ramai.

“Kos minimum penghasilannya RM500. Jika ada yang mahu membeli, mereka akan disaran membeli peralatan dan mesin penghasilannya untuk didermakan kepada kami atau mana-mana institusi.

“Sejak 2013, lebih 100 tangan cetakan 3D yang dihasilkan, dan saya akan ke Langkawi untuk bertemu seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun. Jika berjaya, kita akan hasilkan kaki cetakan 3D pula,” katanya. – BERNAMA