Tauke Beri Dadah Ganti Upah Kepada Nelayan - AADK Kedah

Nazer menunjukkan kadar penagihan mengikut kawasan di Kedah.
ALOR SETAR - Nelayan sering dikaitkan dengan dadah kerana tanpa bahan terlarang itu mereka kurang bertenaga untuk berada lama di laut.

Menurut Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mohamad Nazer Mustafa, kadar penagihan di kalangan nelayan antara tertinggi di negeri ini.

Berdasarkan statistik, sebanyak 6513 orang kena pengawasan  (OKP) di Kedah, yang mana 895 daripadanya yang terlibat penagihan dadah adalah dari sektor pertanian dan perikanan.

Kata beliau, dadah jenis syabu terutamanya menjadi kegilaan nelayan kerana ia dipercayai mampu keseronokan dan tenaga kepada tubuh badan mereka untuk berdepan cabaran di laut.

“Difahamkan ada pula pengusaha bot mengambil kesempatan memberi habuan dadah kepada nelayan, sebagai ganti wang upah.

“Apabila mendapat bekalan, nelayan terlibat menjadi asyik untuk bekerja, sekaligus mampu membawa pulang banyak ikan seperti diidamkan tauke terlibat,” katanya.

Katanya, tauke tidak bertanggungjawab tidak kisah masalah penagihan dadah dialami nelayan, asalkan hasil tangkapan banyak dan keuntungan lumayan.

Katanya, ada tauke sanggup beri upah wang, namun ada beri upah dadah ketika nelayan di laut.

Beliau berkata, situasi sedemikian dikesan di kawasan kuala-kuala yang menjadi tempat nelayan mencari rezeki, contohnya seperti Kuala Kedah, Kuala Muda ataupun Kuala Jerlun.

“Setiap kali terima duit, nelayan terlibat menghabiskan wang semata-mata untuk keseronokan dan bekalan dadah yang dibeli antara RM40 hingga RM50 mengikut gred dalam bentuk paket,” katanya.

Katanya, kegiatan dilakukan golongan berkenaan adakalanya sukar dikawal kerana mereka sebenarnya bijak ubah taktik elak dicekup pihak berkuasa.

“Apabila kita membuat pemeriksaan di kawasan menjadi port mendapatkan bekalan dadah, mereka tukar kepada jualan dari tingkap ke tingkap kediaman penduduk,” katanya.

Setakat ini, katanya, siasatan mendapati nelayan terlibat mendapatkan bekalan dadah samada sendiri menggunakan wang upah, melalui tauke bot ataupun tokan yang dijual dari rumah.

“Mereka mungkin ambil dadah untuk tambah tenaga, tapi lama-kelamaan ketagih dan merosakkan hidup mereka,” katanya.

Katanya, jika penyalahgunaan tidak diatasi dari awal, penggunanya akan bertindak agresif hingga berlaku pergaduhan ataupun kejadian lebih buruk.

Nazer berkata, AADK Kedah tidak akan berputus asa berdepan situasi sedemikian, malah akan laksanakan pelbagai inisiatif demi menangani masalah penagihan itu.

Katanya, beberapa tindakan diambil, rondaan 24 jam dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Maritim di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan dalam usaha kurangkan masalah itu.

Sumber: Sinar Harian