PETALING JAYA - Satu landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan ditutup sehingga diberitahu kelak selepas tayar pesawat Malaysia Airlines (MAS) mengempis semasa mendarat.
"Dua tayar penerbangan Malaysia Airlines MH726 dari Jakarta hari ini mengempis selepas mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 7.13 pagi.
"Landasan 2 di KLIA akan ditutup sehingga diberitahu kelak," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Penumpang dan anak kapal selamat turun dari pesawat dan telah dipindahkan ke terminal dengan bas.
Bagasi dan barang-barang mereka juga dihantar ke terminal menggunakan bas.
"Syarikat penerbangan ini akan menyiasat punca kejadian yang berlaku terhadap pesawat Boeing 738," kata MAS.
"Oleh kerana kekurangan pesawat, beberapa penerbangan menggunakan pesawat ini akan dinaik taraf di mana ia akan dikendalikan oleh pesawat Airbus 330 dan kami sedang mengkaji untuk mengerahkan pesawat Airbus 380 untuk memberi perkhidmatan di laluan Australia," katanya.
MAS memberi jaminan bahawa keselamatan menjadi keutamaan syarikat penerbangan itu dan melahirkan rasa kesal atas sebarang kesulitan yang berlaku kepada penumpang.
Sumber: mStar