Tekong, Awak-Awak Thailand Ditahan Bersama 200kg Ikan


GEORGETOWN - Seorang tekong dan tiga awak-awak warga Thailand ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang.

Turut dirampas, sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan kira-kira 9.4 batu nautika barat daya Pulau Kendi di sini kira-kira jam 7 petang itu.

Timbalan Pengarah (Operasi), Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 38 hingga 62 tahun.

"Ketika ditahan bot peronda Maritim Malaysia Pulau Pinang, kita mendapati bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan Undang-Undang Malaysia mengikut Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat-syarat sah lesen.

"Bot tersebut bersama kira-kira 200 kilogram ikan dirampas dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, Azman menasihatkan kesemua pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan.

"Kita mengambil serius terhadap kesalahan melanggar undang-undang Malaysia oleh nelayan terutamanya nelayan asing.

"Kita berharap orang awam dapat menyalurkan maklumat terhadap sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 042626146," katanya.

Sumber : Sinar Online