Temasya Sukan Sungai 2017 Penuh Kemeriahan Di Tanjung Chali


ALOR SETAR – Kawasan Tanjung Chali di sini yang kebiasaannya sunyi, gamat dengan pekikan suara dan paluan gendang apabila Temasya Sukan Sungai 2017 berlangsung pagi semalam dengan penuh meriah.

Ribuan pengunjung membanjiri pesisir Sungai Kedah seawal 7.30 pagi bagi menyaksikan acara yang dinantikan saban tahun itu bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah ke-89.

Sebelum acara berlangsung, hampir 30 pasukan yang mengambil bahagian melakukan lintas hormat melalui pentas diraja, sebelum gimik perasmian disempurnakan Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Turut hadir Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan pengelola Temasya Sukan Sungai 2017, Datuk Aminuddin Omar.

Aminuddin berkata, temasya kali ini yang melibatkan perlumbaan perahu panjang dan perahu naga itu mempertandingkan lapan kategori final antaranya kategori jemputan antarabangsa, daerah, sektor korporat, jabatan kerajaan/badan berkanun dan badan beruniform.

Antara pasukan yang terlibat Syarikat Air Darulaman Berhad (SADA), Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Sekolah Menengah Kebangsaan Mergong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Istana Anak Bukit dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Pasukan ATM membawa pulang wang tunai RM5,000 dan piala pusingan setelah muncul juara bagi kategori juara antara juara dengan catatan masa 4 minit 29 saat, manakala kategori antara negara (perahu panjang) pula dijuarai Vietnam dengan catatan masa 4 minit 21 saat dan membawa hadiah wang tunai RM10,000.

Selain itu, antara negara luar yang turut serta dalam pertandingan semalam ialah Indonesia, Hong Kong, Brunei dan Singapura. – BERNAMA