ALOR SETAR - Pasukan perahu panjang Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) menyasarkan muncul juara dalam pertandingan perahu panjang Temasya Sukan Sungai sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ke-89 di Ampang Jajar, Sabtu ini.
Penyelaras Pasukan, Mohd Nasir Ismail berkata, 28, pendayung akan merealisasikan sasaran itu selepas memulakan latihan intensif sejak sebulan lalu.
Katanya, YSB memberi kepercayaan terhadap pendayung muda yang rata-ratanya berusia 16 tahun hingga awal 20-an.
“Kami mempunyai pendayung senior berusia 41 tahun yang mempunyai pengalaman dalam sukan ini. Kami sangat komited terhadap pertandingan ini kerana percaya dengan semangat ditunjukkan pendayung muda.
"Acara pertandingan perahu panjang antara pasukan Wisma Darul Aman, Istana Anak Bukit dan YSB adalah antara pertandingan yang digemari Sultan Kedah.
"Sekiranya kami menjuarai pertandingan ini maka kami akan ke peringkat seterusnya iaitu bertanding antara juara bagi kategori perahu panjang yang lain," katanya selepas majlis penyerahan jersi pasukan di MADA, Ampang Jajar di sini hari ini.
Tengku Temenggung yang juga Pengerusi YSB, Tan Sri Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim berkenan menyerahkan jersi itu kepada pendayung.
Mohd Nasir berkata, ini kali ke-8 YSB menghantar pasukan menyertai pertandingan berkenaan dengan rekod kejayaaan tertinggi pernah dicapai sekadar naib juara.
"Kami mempunyai pencabar tradisi pada tahun lalu iaitu pasukan Istana Anak Bukit yang menjadi juara tapi kali ini YSB yakin dapat memberi tentangan hebat.
"Malah, kami juga turut merasa bertuah tahun ini apabila diberi keizinan untuk bertukar perahu dengan pasukan Istana Anak Bukit iaitu perahu Jaya Pahlawan manakala pasukan Istana akan menggunakan perahu Setia Raja yang digunakan YSB sebelum ini," katanya.
Menurut beliau, sekiranya pasukan itu menang, YSB akan mewakili Kedah ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan yang akan dianjurkan kelak.
Sumber: myMetro