Tentera Filipina Temui Mayat Bergelimpangan


MARAWI CITY - Tentera Filipina menemui mayat bergelimpangan di jalanan bandar selatan ditawan pemberontak semalam di sini, termasuk sekurang-kurangnya lapan orang awam yang ditembak mati. 

Polis berkata, lapan mayat, kebanyakannya ditembak di kepala dan sesetengah dengan tangan diikat, adalah buruh yang ditahan pemberontak dikaitkan militan Daesh di pinggir bandar ini ketika cuba melarikan diri dari pertempuran.

Sembilan kelongsong peluru ditemui di atas tompokan darah di atas jalan di atas gaung. Perkataan 'Munafik' turut ditulis pada tubuh mayat yang dibunuh. 

Penemuan itu mengesahkan spekulasi pemberontak Maute membunuh orang awam ketika menawan bandar ini dan pihak tentera yakin ia bertujuan mendapatkan pengiktirafan Daesh. 

Tentera masih berjuang menewaskan Maute yang kini dikatakan semakin lemah. Angka kematian akibat pertempuran enam hari itu hampir 100 orang. 

Krisis di bandar ini, dihuni kira-kira 200,000 penduduk, semakin buruk ketika militan menunjukkan kekuatan luar jangka, menangkis serangan tentera yang menggunakan helikopter, kereta perisai dan sejumlah besar anggota. 

Keganasan itu menyebabkan Presiden Rodrigo Duterte pada Selasa lalu mengisytiharkan 60 hari undang-undang tentera di selatan Filipina, di mana pemberontakan pemisah Islam berterusan selama berdekad. 

Ribuan penduduk awam berpusu-pusu keluar dari bandar ini dan lebih 2,000 masih terperangkap. 

Kebanyakan menghantar mesej teks terdesak merayu diselamatkan dan melaporkan rumah mereka dimusnahkan, kata Zia Alonto Adiong, seorang pegawai di Lanao del Sur, satu daripada wilayah paling miskin Filipina. 

"Tolong kasihani kami, kami tiada air untuk diminum," tulis satu mesej, dihantar kepada talian kecemasan diwujudkan untuk penduduk terperangkap. - Reuters/AP