Terbuka Belgium 2017: Skuad Silat Negara Raih 5 Emas


KUALA LUMPUR – Skuad silat kebangsaan meraih tonik terbaik menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos ini apabila meraih lima emas pada Kejohanan Pencak Silat Terbuka Belgium 2017 yang berakhir di Belgium semalam.

Pesilat di bawah Program Kita Juara, Muhammad Faizul Mohd Nasir menyumbang pingat emas pertama negara selepas mengalahkan pesilat tuan rumah Derent Xavier 5-0 dalam kelas B Putera (50-55kg), demikian menurut entri terbaharu dalam laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN).

Program Kita Juara merupakan program khas yang dirangka oleh MSN untuk kontinjen negara memenuhi sasaran muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga Ogos ini.

Emas kedua dan ketiga negara dihasilkan oleh dua atlet di bawah Program Podium iaitu Mohd Al-Jufferi Jamari dan Razak Ghazali, masing-masing dalam kelas Putera E (65-70kg) dan Putera D (60-65kg).

Mohd Al-Jufferi yang merupakan juara dunia 2016, mudah menewaskan pesilat tuan rumah Hachler Ammier 5-0 manakala Razak turut mencatat kemenangan dengan kiraan mata yang sama ke atas pesilat Singapura Nor Hakim Samsudin.

Dua pesilat negara di bawah Program Kita Juara, Siti Shazwana Ajak dan Muhammad Robial Sobri menambah kutipan pingat emas untuk Malaysia selepas mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Siti Shazwana menang 4-1 ke atas pesilat Singapura Nurul Suhaila dalam kelas D Puteri (60-65kg) manakala Robial menundukkan seorang lagi pesilat Singapura Sheikh Ferdous 5-0 dalam kelas H Putera (80-85kg).

Indonesia muncul juara keseluruhan dengan kutipan tujuh pingat emas dan empat gangsa, disusuli Malaysia (5-4-4) manakala Singapura berada di tempat ketiga dengan kutipan satu pingat emas, empat perak dan dua gangsa.

Kejohanan pencak silat tahunan itu yang bermula sejak 3 Mei lepas disertai enam negara iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Belanda, Malaysia dan Belgium selaku penganjur kejohanan. – BERNAMA