Terlalu Nakal, Kanak-Kanak Dakwa Dihalau Ibu Dan Nenek


SUNGAI PETANI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang mendakwa dirinya didera dan dihalau dari rumah, ditemui bersendirian di tepi jalan belakang sebuah sekolah oleh seorang pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, pengawal keselamatan terbabit yang dalam perjalanan ke sekolah, menemui kanak-kanak itu menggalas sebuah beg sekolah dan apabila ditanya, kanak-kanak itu mendakwa dia dihalau oleh ibunya selain turut dipukul.

"Siasatan polis mendapati, mangsa sebelum ini dijaga oleh neneknya yang tinggal di Jeli, Kelantan, sebelum dijaga ibunya sejak Disember tahun lepas.

"Sewaktu diambil oleh ibunya, terdapat kesan parut pada badannya, dan selepas disoal dia mendakwa dipukul kerana kenakalannya," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Menurutnya lagi, ibu kanak-kanak terbabit mendaftarkan anaknya untuk bersekolah namun pihak sekolah memberitahu bahawa dia sering menimbulkan masalah di sekolah termasuklah mencuri barang dan bergaduh.

"Akhirnya kanak-kanak itu dihantar ke rumah neneknya di Baling, bagaimanapun kenakalannya menyebabkan neneknya enggan menjaga dan menyerahkan semula kepada ibunya.

"Ibu mangsa mengaku ada memukul kanak-kanak itu untuk mendidik, namun tiada sebarang kecederaan serius yang dikesan semasa pemeriksaan kesihatan dijalankan," katanya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan kanak-kanak itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). –Bernama