Teruk Dikecam, Pakatan Harapan Tarik Balik Logo Memalukan


KUALA LUMPUR – Selepas dikecam dan dikritik hebat oleh netizen, Pakatan Harapan hari ini membuat keputusan untuk mengenepikan draf logo gabungan parti pembangkang itu seperti yang dihebahkan di media sosial semalam.

Sehubungan itu, Pakatan Harapan meminta cadangan balas reka bentuk logo Pakatan Harapan yang wajar dari pihak yang berminat untuk mengelak daripada terus dikutuk, namun dengan beberapa syarat ditetapkan untuk logo tersebut.

“Semalam Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli memuatnaik ke dalam Facebook beliau beberapa draf logo Pakatan Harapan untuk mendapatkan maklum balas umum.

“Setelah mengambil kira dapatan dan pandangan umum yang telah diberi, serta berpandukan pandangan dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan, pihak Media Pakatan Harapan mengalu-alukan cadangan balas reka bentuk logo Pakatan Harapan dari pihak yang berminat,” kata kenyataan itu hari ini.

Mynewshub semalam turut melaporkan logo Pakatan Harapan yang dicadangkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat dua tahun lalu dikutuk netizen kerana amat buruk dan kelihatan tidak serius.

Kebanyakan komen menyifatkan tiga logo berkenaan tidak menarik. Ada juga kata ia hampir ‘meniru’ logo sebuah taman tema keluarga terkenal dan tidak kurang menyifatkan ia seperti jenama cap kacang tanah yang popular.

“Penganjur berhak ke atas logo yang diterima untuk kegunaan Pakatan Harapan dan boleh membuat perubahan kepada corak asal,” kata Pakatan Harapan lagi. – Kedahnews.com