'Tidak Sepatutnya Insiden Tersebut Berlaku' - Rosyam Nor


PELAKON dan pengarah, Datuk Rosyam Nor menasihatkan bahawa Pengarah, David Teo mengikut kata pepatah ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’.

Menurutnya, beliau berasa bersyukur dapat mengawal insiden tersebut dengan baik.

“Alhamdulillah, Allah SWT berikan kematangan bagi saya untuk mengendalikan situasi ini dengan matang di mana bagi orang lain mungkin sukar, namun bukanlah bermakna saya ingin besar diri kata saya bagus.

“Cuma Allah SWT dorong saya untuk mengendalikan insiden tersebut sebegitu, lagipun saya bukanlah baru jadi pengacara, dah lama,” katanya ketika Majlis TN50 Penggiat Seni bersama Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Semalam, kecoh apabila seorang penerbit filem itu ditampar oleh seorang pelakon ketika sesi bersama selebriti dalam program berkenaan.

Kejadian tersebut bermula apabila penerbit filem itu bertindak merampas pembesar suara daripada Rosyam selaku moderator.

Tindakan itu adalah untuk menyuarakan pendapatnya supaya selebriti yang berada di barisan belakang turut diberi peluang untuk bercakap.

Sementara itu, Rosyam turut merasakan insiden tersebut tidak wajar terjadi tambahan pula di hadapan PM.

“Tidak sepatutnya insiden tersebut berlaku kerana kita diberi peluang oleh orang paling tinggi di negara kita jadi bila dia bertindak begitu, saya bersyukur sebab dapat mengawal kemarahan saya.

“Kemudian, setelah fikir semula sebab utama pertemuan ini diadakan, saya membuat keputusan untuk ‘damai’kan mereka berdua di hadapan ramai dan ia disambut baik oleh penonton yang memberikan tepukan,” tambahnya lagi.

Sumber : Sinar Online