Tiga Model Taruhan Terbaru Modenas


KUALA LUMPUR – Hasil perkongsian strategik antara Modenas dan syarikat permotoran dari India, Bajaj Auto Limited, syarikat pengeluar motosikal nasional itu memperkenalkan tiga model baharu.

Tiga model yang dimaksudkan ialah Modenas Pulsar NS200, Modenas Pulsar NS200 dan model cafe racer, Modenas V15.

Ketiga-tiga model berkenaan adalah hasil rebadge daripada jenama motosikal paling popular di India, Bajaj.


Pulsar NS200 merupakan jentera dua roda di bawah segmen naked street bike manakala Pulsar RS200 pula dibawah segmen race bike.

Kedua-dua model ini menggunakan kotak gear 6 kelajuan, namun hanya berbeza dari segi hamburan kuasa iaitu 23.5PS pada 9,500 rpm bagi model Pulsar NS200 dan 24.5PS pada 9,500 rpm bagi model Pulsar RS200.

Walaupun berbeza dari segi kuasa, dua model itu didatangkan dengan enjin yang sama iaitu SOHC, sejukan cecair bersesaran 199cc.

Berbeza pula dengan Modenas V15 yang didatangkan dengan rekaan bergaya retro cafe racer bagi peminat rekaan motosikal klasik.

Dipadankan dengan enjin bersesaran 150cc, Modenas V15 mampu menghamburkan kuasa sebanyak 12PS pada 7,500 rpm dengan tork 13Nm pada 5,500 rpm.

Ketiga-tiga model baharu ini didatangkan dengan harga RM5,989 bagi model Modenas V15, RM9,222 bagi model Modenas Pulsar NS200 dan RM11,342 bagi Modenas Pulsar RS200 termasuk GST tanpa insurans.