Tiga Pendaki Everest Maut, Seorang Hilang


KATHMANDU, Nepal – Tiga pendaki meninggal dunia di atas Gunung Everest pada hujung minggu lalu dan seorang lagi masih hilang, kata beberapa pegawai semalam.

Kejadian itu disifatkan sebagai insiden paling buruk sejak runtuhan salji melanda base camp dan mengorbankan 18 pendaki dua tahun lalu.

Berpuluh-puluh pendaki turut diselamatkan dari gunung setinggi 8,848 meter itu sejak tiga hari lalu selepas berdepan kesukaran dalam pendakian ke puncak Everest, kata beberapa pengendali operasi menyelamat helikopter.

Kematian pada hujung minggu lalu itu yang dikaitkan dengan sindrom mabuk altitud menjadikan angka korban pendakian Everest pada musim ini meningkat kepada lima orang.

Pendaki Slovakia, Vladamir Strba ditemui mati di atas Gunung Everest kelmarin, beberapa ratus meter dari puncaknya, kata pegawai Jabatan Pelancongan Nepal, Kamal Parajuli.

Mangsa berada pada ketinggian melebihi 8,000 meter yang dikenali sebagai zon maut Everest. Zon itu turut meragut nyawa pendaki Amerika Syarikat, Roland Yearwood.

Kawasan berkenaan berbahaya kerana bentuk muka buminya yang sukar dan mempunyai oksigen yang rendah sekali gus meningkatkan risiko penyakit berkaitan ketinggian.

Seorang pendaki Australia pula maut di atas Gunung Everest di lereng sebelah Tibet, lapor media tempatan memetik Persatuan Pergunungan Tibet.

Lelaki berusia 54 tahun dari Queensland itu dilaporkan mengalami mabuk altitud tinggi pada ketinggian 7,500 meter. Dia meninggal dunia semasa menuruni gunung berkenaan.

Pendaki keempat hilang sejak Sabtu lalu apabila dia terputus hubungan sejurus tiba di puncak Everest. Jurupandunya yang merupakan warganegara Nepal ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di Kem 4 yang terletak pada ke­tinggian hampir 8,000 meter.

Pendaki legenda Switzerland, Ueli Steck meninggal dunia pada penghujung April lalu ketika melakukan pendakian diikuti bekas askar Gurkha, Min Bahadur Sherchan.

Sumber: Kosmo