KUALA LUMPUR – Tiket-tiket berharga RM888 dan RM388 pada Konsert Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 pada Ogos ini telah habis dijual dalam tempoh sebulan.
Datuk Sheila Majid berkata, beliau tidak menyangka dengan sambutan menggalakkan itu kerana pengumuman konsert tersebut hanya dihebahkan baru bulan lalu.
Sheila, 52, memberitahu, perasaan tertekan mula menguasai dirinya kerana harapan penonton pasti tinggi sambil menjangka satu konsert terbaik dan menghiburkan.
“Selalunya budaya rakyat Malaysia untuk hadir ke konsert akan beli tiket pada saat-saat akhir.
“Alhamdulillah saya memiliki peminat yang terbaik di dunia dan mungkin selama ini mereka terpaksa terbang keluar negara untuk menonton konsert saya, jadi bila diadakan di negara sendiri ramai cepat membeli tiket,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Konsert Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 di Double Tree By Hilton Kuala Lumpur di sini, semalam.
Konsert tersebut akan diadakan pada 5 Ogos ini di Stadium Negara di sini.
Sheila dijangka menyampaikan rangkaian 40 lagu popularnya sambil muncul di atas pentas dengan empat persalinan busana oleh pereka fesyen terkenal, Michael Ong.
Sementara itu, penganjur konsert, Pengarah Urusan, IME Malaysia, Howard Kong berkata, sambutan hebat itu bermula bulan lalu sejak Ratu Jazz itu mengumumkan konsertnya pada majlis pelancaran album Boneka.
Kong memberitahu, senario itu menunjukkan ramai peminat Datuk Sheila Majid merindui kemunculan legenda itu di konsert skala besar yang juga merupakan kerjasama julung kali antara pihaknya dengan artis Malaysia.
“Kami berharap dapat menggunakan pengetahuan dan pengalaman menerusi penganjuran konsert-konsert artis luar sebelum ini untuk konsert Sheila.
“Konsert ini juga bukan sahaja bertujuan menyokong industri muzik tempatan malah menyumbang kepada senario muzik tempatan yang semakin berkembang.
“Kami sentiasa peluang untuk menempatkan satu hala tuju konsert dan mahu mencipta ruang kerjasama dengan artis-artis tempatan pada masa akan datang ” katanya..
Ketika ini tiket yang tinggal berharga RM688, RM488, RM288, RM188 dan RM98.
Sumber – MalaysiaGazette